Mohammed Salah (tengah) bersalaman sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Grozny. FOTO AFP
Mohammed Salah (tengah) bersalaman sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Grozny. FOTO AFP
AFP

GROZNY, Russia: Mohamed Salah tiba di Russia, hari ini dengan Mesir berharap bintang mereka itu sempat pulih sepenuhnya sebelum aksi pembukaan Piala Dunia menentang Uruguay.

Salah dan rakan sepasukan tiba di Grozny bagi membuat penampilan ketiga buat Mesir di kempen Piala Dunia sejak kali terakhir pada 1990.

Juara tujuh kali Afrika itu akan turun untuk aksi sulung peringkat Kumpulan A pada Jumaat ini menentang Uruguay.

"Pasukan ini sudah bersedia untuk beraksi dan mereka semua berada pada tahap terbaik," kata pengurus pasukan, Ihab Leheta ketika ditemui AFP di Lapangan Terbang Antarabangsa Grozny.

Skuad yang diberi jolokan The Pharaohs itu tidak pernah melepasi saingan peringkat kumpulan dan Salah kini semakin terdesak untuk menunjukkan kemampuannya di Russia.

Penyerang berbisa itu terpaksa diketepikan sejak Liverpool tewas 1-3 di tangan Real Madrid dalam aksi final Liga Juara-Juara apabila dia mengalami kecederaan bahu selepas dikasari Sergio Ramos.

Walaupun belum pulih, Salah tetap disenaraikan kerana Mesir menagih sentuhan penyudahnya yang meledak 44 gol dalam semua kejohanan musim ini.

Doktor pasukan, Mohamed Abou al-Ela memaklumkan pada Sabtu dia akan membuat penilaian terhadap kemampuan Salah awal minggu ini.

"Kami tidak dapat memberi apa-apa perkembangan sehingga dua hari lagi. Kami tidak akan membenarkan dia bermain sehingga dia pulih sepenuhnya," katanya.

Pada 30 Mei lalu, pegawai pasukan Mesir berkata Salah terpaksa berehat selama tiga minggu yang menyaksikan dia tidak boleh beraksi menentang Uruguay tetapi dijangka kembali bermain pada pertemuan dengan Russia pada 19 Jun dan Arab Saudi pada 25 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 12:22 AM