Mohamed Salah (tengah) bersama rakan sepasukannya, Ahmed Hegazi (kiri). FOTO AFP
Mohamed Salah (tengah) bersama rakan sepasukannya, Ahmed Hegazi (kiri). FOTO AFP
AFP

SAINT PETERSBURG: Mohamed Salah mampu menjadi batu penghalang kepada impian Russia untuk memburu tiket awal ke pusingan kalah mati Piala Dunia esok.

Kerisauan terhadap prestasi tuan rumah sebelum ini hilang selepas kemenangan 5-0 Russia ke atas Arab Saudi pada perlawanan pembukaan.

Juara tujuh kali Afrika, Mesir bakal memberi cabaran lebih sengit tetapi ia bergantung kepada tahap kecergasan Salah.

Bintang Liverpool itu tidak beraksi sejak meninggalkan padang akibat kecederaan bahu kiri ketika final Liga Juara-Juara tiga minggu lalu dan terpaksa menonton dari bangku simpanan semasa Mesir tewas 1-0 kepada Uruguay.

Salah disahkan cergas 100 peratus oleh doktor pasukan Mesir dan ejennya, memberi isyarat yang dia pasti diturunkan dalam baki kempen negaranya di Russia.

Pada prestasi sebenarnya, Salah yang menjaringkan 44 gol pada musim pertamanya di Liverpool, bakal mencetus kebimbangan di kem Russia.

Kerisauan terhadap Russia untuk menjadi pasukan tuan rumah kedua tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia, dipadamkan dengan permulaan sempurna ke atas Arab Saudi dalam saingan Kumpulan A.

Dengan Uruguay diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai kumpulan, Russia tidak boleh mengharapkan perlawanan terakhir menentang juara dunia dua kali itu sebagai medan memungut mata tambahan.

Denis Cheryshev muncul wira Russia ketika menentang Arab Saudi di mana di meledak dua gol selepas masuk sebagai pemain gantian.

Pemain sayap Villareal itu mengakui pertembungan dengan Mesir pasti lebih menarik dengan kehadiran Salah pada tahap kecergasan terbaiknya.

“Jika dia tiada di situ, adakah ia bermakna tugas kami menjadi mudah? Tidak sama sekali,” kata Cheryshev. “Jika dia beraksi, ia menjadi sukar tetapi lebih menarik.

“Dia salah seorang yang terbaik dan anda sentiasa mahu bersaing dengan yang terbaik dan seterusnya menang.” 

Russia kehilangan seorang tonggaknya, Alan Dzagoev yang dijangka terpaksa melupakan baki saingan akibat kecederaan hamstring.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 2:43 PM