PENGURUS Tottenham, Mauricio Pochettino akan terus bimbing Spurs. FOTO EPA-EFE
PENGURUS Tottenham, Mauricio Pochettino akan terus bimbing Spurs. FOTO EPA-EFE
AFP

PENGURUS Tottenham, Mauricio Pochettino tampil menjawab spekulasi yang menyebut beliau adalah calon pilihan untuk menggantikan Zinedine Zidane sebagai jurulatih Real Madrid.

“Apa yang sudah ditakdirkan akan berlaku, pasti berlaku,” katanya.

Ketika berucap di majlis pelancaran bukunya dalam versi Sepanyol di Barcelona “A New World Brave” , Pochettino berkata, beliau gembira berada di kelab utara London dan sudah menandatangani kontrak baru yang lebih baik.

“Saya mempunyai lima tahun perjanjian bersama Tottenham dan saya amat gembira dengan kelab. Komitmen saya berada di tahap maksimum,” kata jurulatih dari Argentina itu.

“Kita perlu untuk bertenang dan menerima apa juga yang berlaku, kemudian baru kita lihat apa yang akan terjadi.”

Zidane mengejutkan Real apabila mendedahkan bahawa beliau akan meninggalkan kelab itu, beberapa hari selepas melakar sejarah memenangi gelaran Liga Juara Juara buat kali ketiga berturut-turut.

Pochettino berkata, beliau dapat memahami tekanan yang dihadapi warga Perancis itu.

“Apabila nama kita dikaitkan dengan Real Madrid, orang menjangkakan sesuatu yang amat besar ... Bola sepak mempunyai keadaan yang tidak dijangka dan kamu perlu memanfaatkannya setiap hari.

“Apa yang akan terjadi, biarkan ia terjadi.

Akhbar sukan harian Sepanyol, AS melaporkan bahawa kontrak baru Pochettino tidak termasuk perjanjian yang membenarkan beliau boleh meninggalkan Tottenham jika Real berminat dengannya.

Pochettino mengetuai Spurs ke kedudukan ketiga dalam Liga Perdana dalam musim yang sempurna, di belakang Manchester United dan juara, Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 10:05 PM