MAURICIO POCHETTINO
MAURICIO POCHETTINO

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menegaskan, beliau mahu kekal di kelab Liga Perdana Inggeris selama 20 tahun dan mungkin mengakhiri kariernya di London utara, menurut laporan BBC.

Sejak menyertai Southampton pada 2014, pengurus berumur 46 tahun dari Argentina itu dipuji apabila berjaya melonjakkan Spurs ke kedudukan empat terbaik yang bersaing dalam Liga Juara-Juara.

“Saya harap, atau saya inginkan untuk berada di sini 20 tahun dan memutuskan untuk meninggalkan atau mengakhiri karier saya di sini,” kata Pochettino. 

“Saya begitu fokus di sini dan mahu membantu kelab untuk mencapai apa yang kelab mahukan bagi mencipta sejarah.”

“Ia adalah hebat. Saya sangat gembira berada di sini. Saya juga gembira bekerja dengan tekanan yang ada. Kenapa tidak?”

Pochettino berharap untuk mengikuti jejak bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang membimbing musuh Tottenham itu selama 22 tahun, sebelum meninggalkan kelab itu pada hujung musim lalu.

“Tetapi saya tidak tahu kerana saya perlu tanya (Wenger) suatu hari nanti, jika saya mempunyai peluang itu, sama ada beliau sangat gembira dengan penamatnya,” katanya.

“Apa yang saya nampak daripada pandangan saya, ia adalah tidak adil bagaimana beliau dilayan.”

Pochettino belum memenangi sebarang trofi di Spurs, tetapi mereka masih mempunyai empat saingan pada musim ini dengan melangkah ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, separuh akhir Piala Liga – di mana mereka akan menerima kunjungan Chelsea pada awal pagi esok – dan pusingan keempat Piala FA.  

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 11:58 AM