ZINEDINE Zidane dikaitkan dengan jawatan jurulatih PSG, musim depan. FOTO AFP
ZINEDINE Zidane dikaitkan dengan jawatan jurulatih PSG, musim depan. FOTO AFP
Reuters

Paris: Penasihat kepada Zinedine Zidane, hari ini menafikan bekas legenda Perancis itu akan menggantikan Mauricio Pochettino sebagai jurulatih Paris St Germain, musim depan.

Terdahulu, stesen radio Perancis, Europe 1 melaporkan Zidane akan mengambil alih jawatan itu, namun tidak mendedahkan sumber berita itu.

"Semua khabar angin yang berlegar ketika ini tidak benar," kata Alain Migliaccio, penasihat Zidane kepada akhbar sukan harian, L'Equipe.

"Sehingga hari ini, hanya saya seorang dibenarkan untuk mewakili dan menasihatkan Zinedine Zidane. Setakat ini, Zinedine Zidane atau saya sendiri tidak dihubungi pemilik PSG."

Sementara itu, PSG gagal dihubungi untuk mendapatkan ulasan lanjut.

Pochettino yang dilantik 18 bulan lalu, gagal memacu kelab Ligue 1 itu melangkah jauh ke Liga Juara-Juara Eropah apabila tersingkir di pusingan 16 terbaik di tangan Real Madrid, musim ini.

Gelaran Ligue 1 dimenangi pada April lalu adalah trofi tunggal dimenangi mereka musim ini.

Zidane, 49, tidak memiliki kelab sejak meninggalkan Real Madrid pada hujung musim 2020-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 9:55 PM