INIESTA (kanan) menunjukkan jersi Vissel Kobe yang bakal disarungnya bersama Mikitani di Tokyo, Jepun, hari ini. FOTO Ihsan EPA-EFE
INIESTA (kanan) menunjukkan jersi Vissel Kobe yang bakal disarungnya bersama Mikitani di Tokyo, Jepun, hari ini. FOTO Ihsan EPA-EFE
Agensi

LEGENDA Barcelona Andres Iniesta yang menyertai kelab Jepun Vissel Kobe, hari ini menyifatkan perpindahannya ke Liga-J ibarat satu cabaran karier yang penting buatnya.

“Ia hari yang istimewa bagi saya,” kata pemenang Piala Dunia berusia 34 tahun itu selepas menandatangani kontrak dalam majlis memperkenalkan pemain di Tokyo.

“Saya menerima banyak tawaran, kelab lain turut menunjukkan minat terhadap saya,” kata Iniesta, yang dilaporkan bersetuju menandatangani kontrak tiga tahun dengan gaji tahunan AS$30 juta (RM119.4 juta) yang dianggap rekod Liga-J.

“Namun saya memilih Vissel Kobe kerana ia satu projek menarik. Saya menerima kepercayaan dan sokongan yang hebat baik sebagai pemain mahupun insan, itu punca utamanya.”

Iniesta yang menjulang 32 trofi utama dan membuat 674 penampilan buat gergasi Catalan Barca, diberikan jersi nombor lapan kegemarannya oleh pemilik Vissel Kobe Hiroshi Mikitani.

“Saya yakin bahawa dengan falsafah kepemimpinan serta DNA dimiliki Iniesta akan memberi inspirasi hebat bukan saja kepada Vissel Kobe tetapi juga bola sepak Jepun,” kata Mikitani.

“Ketibaannya di Jepun akan meningkatkan mutu bola sepak Jepun di peringkat global. Iniesta akan memberi inspirasi dan memperkasakan kami untuk ke tahap lebih tinggi di Jepun.

“Kami gembira hari seperti ini tiba juga akhirnya.”

Keputusan ikon bola sepak Sepanyol itu memilih Kobe, boleh dianggap kejutan besar daripada bola sepak Jepun ketika ramai pemain ternama berpindah ke kelab China yang menawarkan gaji lumayan di penghujung karier masing-masing.

Perkembangan itu tepat pada masanya terhadap Liga-J yang sebelum ini menarik pemain ternama seperti legenda Brazil Zico dan bekas bintang England Gary Lineker sejak diperkenalkan pada 1993, namun bergelut mencari pemain ternama sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 9:01 PM