INIESTA (kiri) terlalu sukar dibendung pemain JDT. FOTO Agensi
INIESTA (kiri) terlalu sukar dibendung pemain JDT. FOTO Agensi
Firdaus Hashim


KEKALAHAN 1-5 di tangan Vissel Kobe sememangnya cukup pahit untuk ditelan barisan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) termasuk pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut Tunku Ismail, beliau mengakui jurang begitu ketara antara JDT dan kelab Jepun itu yang nyata berada dalam kelas tersendiri untuk merakam kemenangan pertama pada kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Misaki Park, Kobe, Jepun semalam.

Jelasnya, ia pengalaman berguna buat Harimau Selatan supaya bangkit mempamerkan aksi lebih bertenaga dalam baki aksi Kumpulan G itu yang turut dihuni Suwon Bluewings (Korea Selatan) dan Guangzhou Evergrande (China).

"Kelas berbeza. Kita perlu bersikap realistik dan terima hakikat mereka lebih berkualiti daripada kami. Ini pengalaman baik buat kelab JDT dan pengajaran berguna buat mematangkan pasukan tetapi apapun kami akan berjuang hingga aksi terakhir. Ini adalah ACL, terima kasih kepada semua penyokong bola sepak Malaysia yang memberi sokongan," katanya menerusi laman Instagram miliknya hari ini.

Dalam aksi semalam, ketua pasukan Vissel Kobe, Andres Iniesta menjadi duri dalam daging apabila menampilkan persembahan cemerlang apabila menyumbang tiga bantuan gol kepada Keijiro Ogawa yang meledak hatrik.

Dua lagi gol dijaringkan Kyogo Furuhashi dan Douglas manakala gol tunggal pelawat dijaringkan Safawi Rasid menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama.

Sementara itu, pengurus pasukan Luciano Figueroa berkata, pemainnya beraksi baik pada 15 minit pertama sebelum pemain hilang fokus apabila lebih banyak memerhatikan Iniesta yang mungkin 'terpesona' dengan aksi bekas bintang Barcelona dan Sepanyol itu.

"Pemain kebangsaan Jepun, termasuk Iniesta berkelas tinggi. Saya juga merasakan pemain kami bagaikan terpesona dengan kelibat Iniesta. Mereka (pemain JDT) tidak bermain cara biasa dan lebih banyak memerhati dia (Iniesta), dan sikap memerhati bola ini menghukum kami.

"Bagaimanapun, ia satu proses pembelajaran baik untuk kami berkembang dan memahami apa diperlukan untuk bermain di peringkat tinggi ini. Saya harap kami akan lebih baik dan untuk mencapainya kami perlu bekerja lebih keras," kata Figueroa.

Selepas ini, JDT akan bertemu kelab dari Korea Selatan, Suwong Bluewings di Stadium Sultan Ibrahim pada 3 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 7:19 PM