HAFIZH perkukuh kedudukan selepas pamerkan aksi menyakinkan di GP Perancis. -Foto Agensi
HAFIZH perkukuh kedudukan selepas pamerkan aksi menyakinkan di GP Perancis. -Foto Agensi
Fadhli Ishak


SELEPAS bergelut dengan kecederaan di Jerez, Hafizh Syahrin Abdullah mengukuhkan statusnya sebagai antara calon terbaik meraih anugerah pelumba baharu MotoGP terbaik musim 2018 menerusi persembahan meyakinkan di Grand Prix (GP) Perancis, hari ini.

Memulakan perlumbaan di kedudukan grid terbaiknya musim ini di petak ke-14, pelumba pasukan Monster Yamaha Tech3 itu bangkit untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-12 sekali gus selaku pelumba baharu terbaik di Litar Le Mans.

Hafizh melepasi garisan penamat 34.962 saat (s) di belakang juara, Marc Marquez (41:49.773s) dari Sepanyol dengan pelumba Ducati, Danilo Petrucci dan legenda Itali, Valentino Rossi melengkapkan kedudukan podium.

Selain Hafizh yang mengutip empat mata kejuaraan, empat lagi muka baharu di MotoGP termasuk juara Moto2 tahun lalu, Franco Morbidelli dari Itali menamatkan perlumbaan di tangga ke-13, Takaaki Nakagami (15), Tom Luthi (16) dan pelumba Belgium, Xavier Simeon di kedudukan ke-18.

Sekali pun ia boleh dianggap keputusan yang positif, pelumba dari Ampang, Selangor itu mengakui boleh menamatkan saingan di kedudukan yang lebih baik andai tidak melakukan kesilapan ketika permulaan perlumbaan.

“Perasaan saya untuk perlumbaan ini amat baik, tetapi agak mengecewakan apabila saya memperoleh permulaan yang buruk dan kemudian saya (tersekat) di belakang kumpulan yang perlahan di mana saya perlu memintas mereka seorang demi seorang,” kata pelumba berusia 24 tahun itu.

“Saya tahu kepantasan jentera saya amat bagus dan saya fikir saya boleh berada di kedudukan 10 terbaik dengannya. Tetapi sukar untuk memintas di litar ini dan kamu juga perlu menjadi amat berani untuk memintas di selekoh pertama.

“Saya cuba melakukannya banyak kali tetapi pada akhirnya, saya tidak mampu mengejar kelompok yang pantas di depan.

“Secara keseluruhan ia adalah pengalaman yang bagus untuk saya dan saya rasa keyakinan saya mula kembali.”

Pada perlumbaan di Jerez, Sepanyol awal bulan ini, Hafizh yang dipalit kecederaan berikutan kemalangan ketika latihan berbasikal menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16.

Di Le Mans, rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco tampak di landasan untuk menamatkan kemarau kemenangan di kancah MotoGP di depan peminat sendiri tetapi pelumba Perancis itu terjatuh di awal perlumbaan. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 11:48 PM