CHONG Wei ketika beraksi menentang Axelsen dalam kumpulan D pada Kejohanan Badminton Piala Thomas dan Uber 2018 di IMPACT Arena, Bangkok, malam ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
CHONG Wei ketika beraksi menentang Axelsen dalam kumpulan D pada Kejohanan Badminton Piala Thomas dan Uber 2018 di IMPACT Arena, Bangkok, malam ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Fabian Peter


JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei menebus maruah selepas meraih kemenangan bergaya apabila mengecewakan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen pada aksi Kumpulan D Piala Thomas, malam ini.

Chong Wei, yang tewas kepada pemain Denmark dalam tiga pertemuan terakhir mereka beraksi cemerlang di IMPACT Arena, Bangkok apabila pantas mendahului 11-7.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik memberikan Axelsen dua lagi mata sebelum menyempurnakan set pertama 21-9.

Set kedua jauh lebih sengit, tetapi Chong Wei tetap tenang sebelum menang 21-19 mengakhiri penantian dua tahun untuk menumpaskan juara dunia itu.

“Ia satu perlawanan penting tetapi saya sungguh bermotivasi. Saya tidak pernah tewas kepadanya dalam acara berpasukan dan tidak bersedia untuk tewas hari ini,” kata Chong Wei yang juga kapten pasukan.

“Saya melihat video terdahulu untuk menganalisa permainannya. Saya turut berbincang dengan jurulatih untuk melihat bagaimana saya boleh menewaskannya selepas tewas tiga kali sebelum ini.

“Kami memutuskan untuk menjadi agresif dan lebih banyak menyerang. Saya mendahului pada separuh pertama permainan dan melihat dia (Axelsen) tidak selesa. Saya jangka perlawanan akan berlanjutan ke set penentuan tetapi saya berjaya bertahan.”

Chong Wei, yang turut gembira dapat menyumbang mata pertama pasukan, memandangkan perlawanan ini bertujuan menentukan juara pasukan untuk undian ke aksi suku akhir yang akan berlangsung selepas itu.

“Pertamanya ia lebih kepada soal maruah. Dia kini pemain nombor satu dunia. Sebelum ini orang cuba menewaskan saya sebagai pemain nombor satu dunia, kini saya tahu bagaimana rasanya.

“Bagaimanapun saya gembira kerana menang mata pertama buat pasukan. Saya harap selepas ini kami mendapat undian lebih baik pada suku akhir,” kata Chong Wei.

Kedua-dua Malaysia dan Denmark sudah mengesahkan tiket ke suku akhir selepas menewaskan Russia dan Algeria 5-0 pada peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 10:13 PM