KLOPP. FOTO AFP
KLOPP. FOTO AFP
AFP

MASIH segar dengan kejayaan mara ke final pertama Liga Juara-Juara selepas 11 tahun, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp melabel kunjungan ke Chelsea, Ahad ini sebagai “satu lagi separuh akhir Liga Juara-Juara” dengan tempat mereka di kejohanan itu musim depan belum pasti.

Kemenangan dalam salah satu daripada baki tiga perlawanan terakhir Liverpool - di Stamford Bridge, di Anfield bertemu Brighton dan final Liga Liga Juara-Juara menentang Real Madrid - akan mengesahkan tempat mereka ke saingan utama Eropah, musim depan.

Tetapi dengan senarai kecederaan semakin bertambah dan perlu merehatkan skuadnya, jalan terbaik Klopp ialah memastikan satu mata hujung minggu ini.

“Adalah kami mempunyai skuad besar dalam dunia bola sepak ketika ini? Tidak, kami tidak memilikinya,” kata Klopp.

“Kumpulan ini mara ke final dan ia adalah cukup luar biasa. Kami dihentak sepanjang musim, semua kecederaan pada masa yang sukar dan kami masih meneruskan perjuangan.”

Perjalanan Liverpool dalam memburu kelayakan untuk musim depan terbantut beberapa minggu lalu apabila mereka seri tiga kali dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris sebelum ini - menentang Everton, West Brom dan Stoke.

Keputusan Klopp untuk mengutamakan kemaraan ke final Liga Juara-Juara membolehkan Chelsea di tangga kelima merapatkan jurang kepada enam mata untuk tangga keempat liga.

Chelsea mempunyai baki tiga perlawanan liga berbanding dua untuk Liverpool, bermakna jika skuad kendalian Antonio Conte menang semua perlawanan itu, mereka berpeluang mengatasi atau menyamai kutipan mata finalis Liga Juara-Juara berkenaan.

Bagaimanapun, kelebihan perbezaan jaringan yang dicatat Liverpool memerlukan kelab Anfield itu untuk hanya mengutip satu mata Ahad ini atau menang ke atas Brighton.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 8:53 AM