ADAM LALLANA
ADAM LALLANA
AFP

LONDON: Pemain tengah Liverpool, Adam Lallana berlepas ke Afrika Selatan untuk mendapatkan rawatan khas kecederaan hamstring dalam usahanya untuk merealisasikan impian pada Piala Dunia.

Menurut laporan media Britain, Lallana menerima rawatan di Institut Sains Sukan di Cape Town yang dipilih oleh bahagian perubatan Liverpool dalam memastikan kecerdasan pemain England itu kembali pulih.

Pemain berumur 29 tahun itu hanya diturunkan dalam tiga perlawanan manakala 10 aksi lagi sebagai pemain gantian. Dia tidak bermain sehingga penghujung November berikutan dibelenggu kecederaan paha.

Penampilan semula Lallana bagaimanapun tidak lama apabila dia mengalami kecederaan hamstring hanya selepas lima minit bermain dan memaksanya keluar daripada perlawanan di Crystal Palace pada Mac lalu.

Liverpool bagaimanapun mengambil masa untuk membawa masuk Lallana semula pada separuh musim lagi selepas pengurus Reds, Jurgen Klopp mengakui pemain itu dibawa masuk terlalu awal hingga menyebabkan kecederaan.

Kelab itu akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati pada bulan terakhir kempen sementara pemain tengah itu masih belum diketepikan sepenuhnya dengan berharap untuk membaiki kecergasan menjelang Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 8:29 AM