PEMAIN perseorangan wanita Kebangsaan, Kisona Selvaduray kejutkan rakan senegara Lee Ying Ying 21-19, 21-13 pada pusingan kedua Masters Orleans di Paris, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PEMAIN perseorangan wanita Kebangsaan, Kisona Selvaduray kejutkan rakan senegara Lee Ying Ying 21-19, 21-13 pada pusingan kedua Masters Orleans di Paris, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Ferzalfie Fauzi


PERSEORANGAN wanita negara, S Kisona mengejutkan rakan senegara yang juga pilihan kelima, Lee Ying Ying 21-19, 21-13 pada pusingan kedua Masters Orleans di Paris, hari ini.

Kemenangan itu amat bermakna buat Kisona yang memburu tempat perseorangan ketiga dan keempat untuk beraksi pada Piala Uber di Bangkok, Mei depan.

Menurut pemain berasal dari Seremban itu, sentiasa berlatih bersama dan mengetahui corak permainan Ying Ying menjadi kunci kepada kejayaannya hari ini.

“Saya tidak mahu komen banyak mengenai perlawanan hari ini dan hanya turun ke gelanggang mengikut strategi permainan yang ditetapkan saja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Kisona, menyedari Ying Ying pemain lebih senior dan menghuni ranking dunia lebih baik daripadanya, dia mempersiapkan diri sebaik mungkin sebelum turun ke gelanggang.

“Saya melakukan persiapan dengan rapi kerana sudah menjangkakan mengharungi perlawanan sengit. Ying Ying seoang pamain yang bagus. Ranking dia lebih baik berbanding saya dan mempunyai pengalaman luas.

“Bagaimanapun, saya sudah menetapkan dalam fikiran saya ingin memberikan segalanya pada perlawanan hari ini, tidak kira apa yang saya hadapi,” kata pemain berusia 20 tahun itu.

Ia juga kali ketiga berturut-turut Kisona berjaya menumpaskan Ying Ying dan melebarkan rekod pertemuan kepada 3-0, kali pertama pada Siri Antarabanga Malaysia 2017 disusuli Masters Thailand tahun ini.

Ditanya mengenai aksi suku akhir esok, Kisona meramalkan sekali lagi berdepan halangan sukar kerana berentap dengan pemain Indonesia, Ruselli Hartawan.

“Perlawanan esok pasti sengit kerana sebelum ini saya terpaksa berhempas-pulas untuk mengalahkannya pada pusingan pertama Masters Thailand. Saya harap mampu meneruskan kecemerlangan dan akan berjuang habis-habisan esok,” katanya.

Ruselli mara ke suku akhir selepas menumpaskan Martina Repiska dari Slovakia 21-13, 18-21, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 10:45 PM