Salah pemain kesayangan Klopp tetapi tawaran tiga kelab besar bakal menyebabkannya meninggalkan Anfield. FOTO REUTERS
Salah pemain kesayangan Klopp tetapi tawaran tiga kelab besar bakal menyebabkannya meninggalkan Anfield. FOTO REUTERS
The Sun

LIVERPOOL berdepan cabaran rekod perpindahan termahal dunia bernilai £200 juta (RM1.1 bilion) untuk mengekalkan pemain ajaib kelab itu, Mohamed Salah.

Tiga kelab gergasi iaitu Real Madrid, Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) semuanya sanggup mengeluarkan belanja tinggi untuk mendapatkan pemain handalan Mesir itu.

Musim cemerlang Salah terbukti selaku penjaring prolifik apabila menyumbat 37 gol dalam 43 perlawanan bersama kelab dan negaranya.

Ketajamannya di depan pintu gol membuatkan kelab benua Eropah mengidam untuk mendapatkan khidmatnya.

Ia bermakna bos Kop, Jurgen Klopp perlu menolak rekod perpindahan dunia itu demi mengekalkan aset terbesar skuadnya itu.

Dua bulan lalu, Liverpool terpaksa menerima tawaran tidak dapat ditolak selepas Barca menepati harga jangkaan £145j (RM795 juta) diletakkan terhadap Philippe Coutinho.

Perkara sama berkemungkinan berlaku terhadap Salah, 25.

Tiga kelab besar Eropah itu yakin pemilik Anfield, Fenway Sports Group tidak mampu menolak tawaran melebihi harga £198j (RM1.0 bilion) sepertimana dibelanjakan PSG ketika mendapatkan pemain Barca, Neymar musim lalu.

Salah dibeli pada harga £34.3j (RM188 juta) oleh Reds dari Roma pada perpindahan musim panas lalu.

Dia kerap dibandingkan dengan Lionel Messi dan 28 gol dijaringkan oleh Salah melebihi tiga gol diledak (25) oleh pemain ajaib Argentina itu di Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 9:20 PM