LUKAKU (kanan) kembali ke Chelsea.
LUKAKU (kanan) kembali ke Chelsea.
Agensi

London: Romelu Lukaku bakal muncul pemain paling mahal dalam sejarah membabitkan jumlah yuran perpindahan keseluruhan apabila dia kembali menyertai Chelsea.

Penyerang Belgium itu semakin hampir berpindah semula ke Stamford Bridge selepas sepuluh tahun, dengan Inter Milan bersetuju menerima bidaan £97.5 juta (RM571.14 juta) sekali gus bermakna jumlah keseluruhan yuran perpindahan Lukaku mengatasi rekod milik Neymar iaitu £246.6 juta (RM1.44 bilion).

Bintang Brazil itu berpindah dari Santos ke Barcelona dan PSG dengan harga rekod dunia £198j (RM1.16 bilion) pada 2017 tetapi Lukaku kini menuju ke London dengan jumlah keseluruhan yuran perpindahan mencecah £293.5j (RM1.72 bilion).

Dia memulakan kariernya di Anderlecht sebelum menyertai Chelsea dengan harga £10j (RM58.6 juta) pada 2011 tetapi tiga tahun kemudian dengan hanya 15 perlawanan tanpa jaringan, Lukaku dijual ke Everton dengan harga £28j (RM164 juta) pada 2014 .

Prestasinya memuncak di sana dengan meledak 87 gol dalam 166 perlawanan sebelum berpindah ke Manchester United pada 2017 menerusi kontrak lumayan.

Dia menjaringkan 42 gol dalam 96 perlawanan tetapi selepas gagal menyesuaikan diri dengan gaya permainan United, Lukaku sekali lagi mencari haluan baharu.

Inter kemudiannya menandatangani bintang Belgium itu dengan harga £74j (RM433.28 juta) pada 2019 yang kemudiannya mengubah nasib Lukaku.

Dia meledak 34 gol pada musim pertamanya ketika Inter terlepas gelaran Serie A dengan hanya kurang satu mata.

Tetapi musim lalu, dia membantu gergasi Itali itu menamatkan kemarau liga 11 tahun selepas meledak 24 gol dalam 36 perlawanan sekali gus menarik minat Chelsea untuk mendapatkan kembali penyerang lama mereka bagi menambah sengat di jentera hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 12:57 PM