PEMAIN Juventus, Alex Sandro (dua dari kiri) diasak pemain Torino, Lorenzo De Silvestri (kanan). - Foto REUTERS
PEMAIN Juventus, Alex Sandro (dua dari kiri) diasak pemain Torino, Lorenzo De Silvestri (kanan). - Foto REUTERS

MILAN: Alex Sandro meletakkan Juventus ditangga kedua teratas Serie A apabila membantu kelabnya merakam kemenangan 1-0 ke atas pasukan tetangganya Torino sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu carta, Napoli.

Pemain pertahanan kiri Brazil itu menjaringkan gol selepas 33 minit juara enam kali Serie A berkenaan kehilangan penyerang berbisanya Ganzalo Higuin akibat kecederaan.

Kemenangan itu membolehkan Juventus memunggut 65 mata selepas mengharungi 25 perlawanan, dua mata di belakang pendahulu, Napoli yang sedang bergelut, sejak kebelakangan ini. 

Skuad bimbingan Massimiliano Allegri - sebelum ini terikat 2-2 dengan Tottenham dalam perlawanan Liga Juara-Juara di Turin - berdepan masalah kecederaan dan terpaksa beraksi tanpa kelibat Mario Mandzukic, Blaise Matuidi dan Juan Cuadrado, bersama Paulo Dybala dan Federico Bernardeschi, berehat di bangku simpanan.

“Hari ini bukanlah jawapan terbaik bagi keputusan seri 2-2 dalam pusingan pertama tetapi kami yakin mampu meraih kejayaan apabil berkunjung ke London nanti,” kata Allegri.

"Juve adalah pasukan yang kuat dengan pemain luar biasa yang selama bertahun-tahun telah mencabar di semua peringkat dan saya tidak menganggap 2-2 dengan Tottenham bukan satu tragedi.

"Saya berbangga dengan peminat dan hari ini kita melihat tindak balas yang baik, kami gembira dengan diri kami walaupun pada saat-saat yang sukar." katanya.

Dalam perlawanan itu pasukan pelawat mula berasa tertekan selepas tiga minit apabila penyerang Juventus, Ganzalo Higuain mengalami kecederaan buku lali ketika cuba menyekat bola hantaran lintang daripada Miralem Pjanic. Pemain Argentina berkenaan kemudian dikeluarkan selepas bermain selama 12 minit dan digantikan Federico Bernardeschi.

Bagaimanapun, Torino terlebih dulu mencipta peluang untuk menjaringkan gol menerusi gandingan Joel Obi dan Andrea Belotti yang hanya berdepan pertahanan tengah Juventus,  Daniele Rugani tetapi Belotti gagal mengawal kemas bola terbabit. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 11:45 PM