AARON Ramsey, Mkhitaryan dan rakan meraikan kejayaan Arsenal meledakkan gol pertama pasukan. Foto AFP
AARON Ramsey, Mkhitaryan dan rakan meraikan kejayaan Arsenal meledakkan gol pertama pasukan. Foto AFP

LONDON: Arsene Wenger berkata keserasian di antara ‘rakan lama’ Pierre-Emerick Aubameyang dan Henrikh Mkhitaryan boleh mengubah nasib Arsenal musim ini.

Aubameyang memulakan aksi sulungnya bersama Arsenal dengan menjaringkan gol ketika Gunners menundukkan Everton 5-1, awal pagi tadi dengan Mkhitaryan menyediakan tiga umpanan pada aksi pertamanya di kesebelasan utama.

Prestasi yang ditampilkan kedua-dua bekas pemain Borussia Dortmund itu jelas sesuatu yang amat diharapkan oleh pengurus, Wenger selepas skuad kendaliannya mengharungi Januari yang sukar.

Penyerang Gabon, Aubameyang menyertai Arsenal dari Dortmund pada hari terakhir jendela perpindahan musim sejuk dengan nilai £56 juta pound (RM307.46 juta) manakala pemain tengah Armenia, Mkhitaryan tiba lebih awal sebagai sebahagian daripada perjanjian menjual Alexis Sanchez ke Manchester United.

Meskipun Aaron Ramsey meledak hatrik pertama kariernya bertemu Everton, gandingan berbisa di antara Aubameyang dan Mkhitaryan lebih mencuri tumpuan.

“Secara keseluruhan, dua pemain ini dapat berintegrasi dengan baik dalam permainan kami dan mereka nampak seolah-olah sudah lama bermain dengan kami,” kata Wenger.

“Mereka mempunyai kualiti yang setara dengan permainan kami. Secara teknikal, mereka bagus. Mereka pantas dan keseluruhannya ia adalah prestasi pertama yang meyakinkan.”

“Kualiti pergerakan dan penyudah yang dimilikinya menakjubkan. Dia memberikan masalah kepada pertahanan lwan dengan pergerakannya, dia sentiasa pergi ke ruang yang menyukarkan orang untuk mengawalnya.

“Apabila dia ke depan, sukar untuk pemain lain mengejarnya. Apabila kami dapat memahaminya dengan lebih baik, kami boleh mendapat lebih manfaat daripadanya.”

Mkhitaryan yang bergelut mencipta impak di United tampak kembali segar di Emirates dengan gandingannya dengan Aubameyang serta Mesut Ozil jelas berbahaya yang menyaksikan Arsenal merobek gawang Everton empat kali sebelum babak pertama berakhir.

“Dia (Mkhitaryan) pemain yang mampu menjadi penghubung yang baik dan dia juga bekerja dengan amat keras,” kata Wenger.

“Secara keseluruhan, saya fikir dia amat dialu-alukan oleh keseluruhan pasukan dan faham dengan corak yang kami mahu gunakan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 6:27 PM