MESSI terlepas penalti ketika kelab Catalan itu tewas 0-1 kepada pencabar tetangga Espanyol pada suku akhir Piala Raja Sepanyol semalam. Foto AFP
MESSI terlepas penalti ketika kelab Catalan itu tewas 0-1 kepada pencabar tetangga Espanyol pada suku akhir Piala Raja Sepanyol semalam. Foto AFP
AFP

MADRID: Andres Iniesta menegaskan tiada siapa di Barcelona yang panik selepas rekod cemerlang tanpa kalah dimiliki pendahulu La Liga itu berakhir.

Lionel Messi terlepas penalti ketika kelab Catalan itu tewas 0-1 kepada pencabar tetangga Espanyol pada suku akhir Piala Raja Sepanyol semalam, biarpun juara bertahan itu masih mampu menubah nasib pada perlawanan timbal balik minggu depan.

“Apa yang tidak dijangka semua adalah kami tidak kalah sehinggalah sekarang,” kata Iniesta ketika melawat sebuah hospital di Barcelona hari ini.

Ia adalah kekalahan pertama dalam 30 perlawanan semua kejohanan buat pasukan Ernesto Valverde yang masih belum mencatat kekalahan di La Liga.

“Inilah sukan, inilah bola sepak dan anda terpaksa berdepan perlawanan berintensiti tinggi,” kata Iniesta yang pasukannya akan berkunjung ke Betis sebelum aksi timbal balik menentang Espanyol.

“Ia bukan perlawanan tunggal dan dalam perlawanan kedua, kami akan cuba mengubah keadaan.

“Kekalahan hanya akan mencetuskan kebimbangan jika dilihat dari perspektif negatif selepas mengharungi banyak perlawanan tanpa kekalahan.”

Iniesta berharap dapat kembali pulih daripada kecederaan yang dianggapnya kesakitan biasa, malah Barca juga kehilangan dua pemain termahal mereka Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele berikutan kecederaan paha.

Dembele tidak beraksi selama tiga hingga empat minggu selepas mengalami kecederaan ketika pasukannya menang 4-2 ke atas Real Sociedad minggu lalu.

Betis juga pencabar hebat di La Liga di mana dua perlawanan sebelumnya berakhir dengan kemenangan 5-3 and 3-2 dan Quique Setien menggesa pemainnya untuk menggempur pendahulu liga itu di Benito Villamarin.

“Memang sukar untuk menewaskan Barcelona. Saya pasti, kami akan lebih berani,” kata Setien.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 2:38 PM