ADAM sebulan berkelana di Sepanyol.
ADAM sebulan berkelana di Sepanyol.
Sukhairi Thani


MUSIM rehat buat pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin sudah tamat dan pelumba pasukan PETRONAS SIC Racing itu kini membuka tirai 2018 dengan latihan intensif selama sebulan di Valencia, Sepanyol.

Pelbagai aktiviti luar trek disediakan buat Adam bermula esok antaranya meluncur ais, latihan fizikal di gimnasium, berbasikal serta berenang sebagai persiapan menghadapi musim baharu dijadual berlangsung di Qatar, 18 Mac ini.

Di Valencia, Adam yang akan disertai rakan senegara yang beraksi dalam kelas Moto2, Hafizh Syahrin Abdullah pada 17 Januari ini bakal diselia jurulatih peribadi, Aleix Santacreu.

Sementara itu, Hafizh yang baharu menamatkan zaman bujangnya 14 Disember lalu berkata, dia teruja untuk memulakan latihan di Valencia nanti.

“Latihan pertama ini akan membantu saya daripada sudut persediaan fizikal,” kata Hafizh. “Saya juga dapat merasa lebih yakin apabila dapat mempersiapkan diri lebih awal.

“Saya akan berusaha lebih gigih dan menggandakan latihan berbanding tahun lalu untuk menghadapi musim baharu ini.”

Musim lalu, Adam yang bergandingan bersama Ayumu Sasaki menamatkan saingan di tangga ke-17 keseluruhan dengan 42 mata manakala Hafizh berada di tangga ke-10 (106 mata) dalam kelas Moto2.

Untuk musim 2018 ini, Adam mensasarkan untuk berada dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan manakala Hafizh diberi tugasan besar, menamatkan saingan dalam senarai lima pelumba terbaik bagi mencerahkan peluang melangkah ke kelas utama, MotoGP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 9:02 PM