ADAM akan  tumpu  100 peratus bagi menyesuaikan diri dengan lebih baik bersama jentera Honda di SIC nanti.  FOTO Osman Adnan
ADAM akan tumpu 100 peratus bagi menyesuaikan diri dengan lebih baik bersama jentera Honda di SIC nanti. FOTO Osman Adnan
Sukhairi Thani

Kuala Lumpur: Ujian persendirian pasukan bermula Khamis ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal digunakan sepenuhnya pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Adam Norrodin untuk mencari keserasian dengan jentera Honda barunya.

Minggu lalu pada ujian rasmi Moto3 di Sirkit Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, ada kekangan masa buat Adam dengan dia hanya turun ke trek sebanyak tiga kali daripada sembilan sesi selama tiga hari susulan cuaca sejuk dan tidak menentu.

Justeru, Adam yang menamatkan musim lalu dengan 42 mata untuk berada di tangga ke-17 keseluruhan berkata, dia mahu menggunakan peluang selama empat hari di Sepang nanti sebagai medan terbaik menyesuaikan diri dengan jentera.

“Saya amat tidak sabar untuk ujian kali ini kerana minggu lalu ketika ujian di Valencia, ia tidak berlangsung dengan baik kerana cuaca tidak menentu, hujan dan sejuk.

“Ia menyebabkan saya tidak dapat fokus 100 peratus kepada ujian minggu lalu. Jadi dengan ujian di Sepang nanti dengan hanya pasukan kami saja melakukan ujian, sudah tentu ia dapat membantu saya memberikan 100 peratus tumpuan bagi menyesuaikan diri dengan lebih baik bersama jentera,” kata Adam.

Selain Adam, turut menjalani ujian persendirian nanti adalah pelumba SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin yang mengisi tempat dikosongkan Hafizh Syahrin Abdullah susulan bakal beraksi dalam kelas perdana, MotoGP.

Hafizh dijadual membuat kemunculan pertama bersama pasukan Monster Yamaha Tech3 pada ujian rasmi MotoGP di Sirkit Antarabangsa Buriram, Thailand, bermula Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 7:22 AM