HAFIZH akan berangkat ke Sepanyol pada 16 Januari depan.
HAFIZH akan berangkat ke Sepanyol pada 16 Januari depan.
Sukhairi Thani


PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah bakal menunggang jentera baharunya Februari depan ketika ujian rasmi pra musim Kejuaraan Motosikal Dunia di Valencia, Sepanyol.

Hafizh bakal menggunakan jentera Kalex yang baharu bersama pasukan PETRONAS Sprinta Racing selepas empat musim penuh mengharungi perlumbaan kelas pertengahan itu di bawah pengurusan PETRONAS Raceline yang menyaksikan dia menamatkan kempen 2017 di tangga ke-10 dengan 106 mata keseluruhan.

Ujian di Valencia nanti adalah sesi rasmi pertama pra musim 2018 sebelum Hafizh dan rakan sepasukannya yang beraksi dalam kelas Moto3, Adam Norrodin kembali menjalani ujian di Sepang dari 15 hingga 17 Februari.

Litar Losail, Qatar dijadual menjadi lokasi terakhir untuk sesi ujian rasmi pra musim dari 6 hingga 8 Mac depan.

ANTARA jetera Kalex yang bakal digunakan Hafizh.
ANTARA jetera Kalex yang bakal digunakan Hafizh.

“Hafizh akan bertolak ke Sepanyol, 16 Januari depan untuk sesi latihan luar musim sebelum menjalani ujian rasmi pertama di Valencia. Selepas itu dia akan kembali ke Sepang untuk ujian seterusnya sebelum ujian rasmi pra musim terakhir di Qatar pada Mac.

“Dia akan bersama jentera dan pasukan baharunya di Jerez pada awal Februari,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali ketika dihubungi, hari ini.

“Buat masa ini, kami memberikan ruang kepadanya menikmati waktu terluang yang ada kerana jadual tahun depan padat. Kami juga akan mengadakan perbincangan mengenai perancangan tahun depan dengannya mungkin pada minggu depan atau dalam tempoh dua minggu lagi.”

Hafizh atau dikenali sebagai Pescao baru-baru ini mengesahkan menyertai pasukan PETRONAS Sprinta Racing - kerjasama antara PETRONAS dan SIC - dan antara objektifnya untuk melihat penyertaan pelumba negara beraksi dalam kelas utama MotoGP pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 7:46 PM