HAFIZH (tengah) bersama pasukannya. FOTO/HASRIYASYAH SABUDIN
HAFIZH (tengah) bersama pasukannya. FOTO/HASRIYASYAH SABUDIN
Oleh Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Pelumba sensasi Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mahu memberi tumpuan penuh bagi mengharungi empat baki perlumbaan musim 2017, dengan perlumbaan paling hampir di Grand Prix Jepun, hujung minggu ini.

Sejak mula beraksi secara penuh pada musim 2014, sirkit Twin Ring Motegi ini tidak pernah mengecewakan Hafizh, namun trek sepanjang 4.8 kilometer (km) itu tidak pernah dianggap mudah oleh pelumba PETRONAS Raceline itu.

“Saya berharap dapat memberikan yang terbaik pada baki empat perlumbaan 2017 ini,” kata Hafizh yang kini dibelenggu spekulasi pemindahan ke pasukan baharu musim depan.

“Tiga perlumbaan berturut-turut termasuk satu siri di Sepang. Yang pertamanya di Twin Ring Motegi, Jepun - ia bukan mudah untuk saya namun strukturnya (trek) boleh tahan.

“Ramai pelumba yang laju di sini. Saya perlu berusaha seawal mungkin daripada sesi latihan bebas pertama sehinggalah hari perlumbaan.

“Cuaca memainkan peranan penting dan kami juga harus melakukan yang terbaik dalam apa juga keadaan,” katanya yang bakal beraksi di GP Australia pada 22 Oktober ini.

Setakat 14 perlumbaan, Hafizh kini berada di tangga ke-11 keseluruhan dalam kelas Moto2 dengan 66 mata.

Selepas GP Jepun dan GP Australia, Hafizh akan menghangatkan perlumbaan di Sepang untuk GP Shell Malaysia (29 Oktober).

Musim Kejuaraan Motosikal Dunia 2017 melabuhkan tirai di Valencia pada 12 November.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 5:13 PM