AFP

Zurich: Cristiano Ronaldo (gambar) merangkul anugerah sulung pemain terbaik FIFA awal pagi semalam, pengiktirafan terbaharu diterima bintang Real Madrid dan Portugal itu selepas 2016 yang gemilang bersama kelab dan negaranya.

Claudio Ranieri dari Leicester City menerima anugerah jurulatih terbaik lelaki berikutan kejayaan menakjubkan membantu kelab itu menjuarai Liga Perdana Inggeris.

Namun malam itu sekali lagi menjadi milik Ronaldo, 31, yang mengatasi musuh lama Lionel Messi untuk memenangi trofi itu dan pemain Perancis Antoine Griezmann, pemain terbaik pada Kejohanan Eropah tahun lalu.

Ronaldo sudah memenangi anugerah Ballon d’Or selepas kejuaraan ketiga Liga Juara-Juara, semuanya gara-gara 16 gol dalam 12 perlawanan, selain membantu kejayaan Portugal pada Euro 2016, kejuaraan utama sulung negara itu.

“2016 adalah tahun terbaik sepanjang karier saya,” kata Ronaldo selepas menerima hadiah daripada Presiden FIFA Gianni Infantino.

Ranieri, 65, yang menewaskan bos Real Zinedine Zidane dan pengurus Portugal Fernando Santos menyatakan anugerah jurulatih terbaik itu “menakjubkan” selepas menerimanya daripada legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona.

Di bawah kendalian Ranieri, Leicester mencipta satu daripada kejutan terbesar dalam sejarah bola sepak Inggeris untuk menjulang trofi Liga Perdana musim lalu.

Anugerah itu dikira berdasarkan proses undian terkumpul membabitkan jurulatih pasukan kebangsaan dan kapten, sekelompok wartawan terpilih dan penyokong.

Ronaldo meraih 34.5 peratus daripada undian berbanding 26.4 buat Messi, yang tidak menghadiri anugerah yang dihoskan bersama aktres AS dan bekas bintang “Desperate Housewives” Eva Longoria.

Barcelona menyatakan Messi fokus terhadap perlawanan Piala Raja Sepanyol menentang Athletic Bilbao.

Pemain tengah AS Carli Lloyd merangkul anugerah pemain terbaik wanita 2016, pemenang dua pingat emas Olimpik itu menokok kejayaan meraih anugerah Pemain Terbaik Tahunan Wanita FIFA pada 2015.

Pemain Amerika itu berakhir di depan bintang Brazil Marta dan Melanie Behringer dari Jerman.

Dia menganggap 2016 sebagai “pahit manis” dengan AS gagal meraih pingat buat kali pertama pada pertandingan bola sepak wanita Olimpik.

La Liga Sepanyol mempunyai sembilan daripada 11 pemain dalam pasukan terbaik FIFPro dengan Ronaldo dan Messi mengetuai senarai pasukan bintang itu.

Ronaldo disertai rakan sepasukan Real Madrid, Sergio Ramos, Marcelo, Toni Kroos dan Luka Modric manakala Barcelona diwakili empat pemain Gerard Pique, Andres Iniesta, Luis Suarez dan Messi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 9:05 AM