HAMSIK jaring 115 gol sekali gus menyamai rekod penjaring sepanjang zaman Napoli, Maradona. -Foto EPA
HAMSIK jaring 115 gol sekali gus menyamai rekod penjaring sepanjang zaman Napoli, Maradona. -Foto EPA
AFP

MILAN: Marek Hamsik menyamai rekod Diego Maradona sebagai pendahulu senarai penjaring sepanjang zaman Napoli ketika kelab berkenaan memanfaatkan kekalahan pertama Inter Milan pada musim ini sekali gus berada di puncak Sirie A dengan kemenangan 3-1 di Torino.

Terdahulu, Inter tewas 1-3 di tangan Udinese di San Siro dan Hamsik yang ketika sudah meledak 115 gol bersama Napoli dalam kesemua kejohanan, mendahului jaringan ketika skuad Maurzio Sarri memanfaatkan kekalahan Inter dengan tiga gol pada separuh masa untuk menyingkirkan Torino untuk berada di puncak dengan 42 mata, dua mata di depan Inter di tangga kedua.

“Ia amat menggembiranya untuk menjaringkan 115 gol selaku pemain tengah. Ia satu pencapaian,” kata pemain kebangsaan Slovakia itu.

Kemenangan Napoli hadir selepas tewas 0-1 di laman sendiri di tangan Juventus dua minggu lalu dan keputusan itu menyaksikan mereka terpaksa melepaskan kedudukan teratas liga kepada Inter.

Selain itu, prestasi hambar ketika terikat tanpa jaringan dengan Fiorentina minggu lalu juga menyaksikan mereka gagal mengambil peluang daripada keputusan 0-0 yang diraih Inter dan Juventus.

“Kami sangat gembira dengan prestasi ini,” kata Hamsik. “Saya tidak tahu sekiranya ia satu kelebihan untuk berada di puncak liga tetapi ia membantu untuk mengingatkan kami mengenai kekuatan pasukan.”

Kekalahan anak buah Luciano Spalletti juga membenarkan penghuni tangga ketiga Juventus kini hanya ketinggalan empat mata di belakang Napoli.

Roma yang menduduki tangga keempat kini menyamai kutipan mata dengan Juve selepas bek tengah Argentina, Federico Fazio meledak gol pada minit ke-94 untuk meraih kemenangan 1-0 ke atas Cagliari.

Kelab ibu kota itu berada di landasan tepat untuk memburu gelaran, hanya empat mata di belakang Napoli dengan berbekalkan satu perlawanan dalam tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 2:06 PM