LIU Ying (kiri) bersama  Tang Jie (kanan) ketika sesi latihan di Akademi Badminton Negara, Bukit Kiara. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
LIU Ying (kiri) bersama Tang Jie (kanan) ketika sesi latihan di Akademi Badminton Negara, Bukit Kiara. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS merangkul gelaran sulung minggu lalu, pemain beregu campuran negara Chen Tang Jie mengakui masih belum puas dan banyak lagi yang perlu diperbaikinya terutama menjelang aksi di Cabaran Antarabangsa India yang bermula esok.

Menurut pemain berusia 19 tahun itu, banyak aspek permainan yang perlu ditingkatkan dalam tempoh ini walaupun berjaya menjulang trofi Siri Antarabangsa India pada penampilan di kejohanan antarabangsa bersama gandingan senior, Goh Liu Ying.

“Saya berasa sangat yakin dan bertuah kerana dapat bergandingan bersama Liu Ying. Dia berjaya membantu saya dengan baik ketika di dalam gelanggang,” kata Tang Jie yang pernah muncul pemenang pingat gangsa ketika berpasangan dengan Toh Ee Wei di Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu di Bilbao, Sepanyol.

Menurutnya, walaupun Liu Ying lebih senior berbandingnya dan pernah meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio tahun lalu, rakan segandingannya itu tidak lokek untuk berkongsi ilmu.

“Banyak yang saya pelajari daripadanya baik di dalam latihan mahupun kejohanan yang kali pertama kami sertai ini (Siri Antarabangsa India). Apa yang saya lakukan ialah menjalankan tugas saya dengan baik di dalam gelanggang dan cuba yang terbaik.

“Menjelang Cabaran Antarabangsa India esok, kami berharap mampu sekali lagi memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan dan cuba untuk mendapatkan keputusan cemerlang,” katanya yang baru saja menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari Kelab Badminton Petaling (KB Petaling) bulan lalu.

Bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu sebelum ini pernah berada di bawah badan induk berkenaan sebelum digugurkan pada tahun 2013 dan menyertai KB Petaling.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui memberi ruang kepada pemain remaja untuk bergandingan bersama tonggak senior bagi membolehkan mereka mencari pengalaman dan memecahkan gandingan utama, Chan Peng Soon-Liu Ying untuk sementara waktu.

Peng Soon sekarang ini bergandingan dengan Cheah Yee See dan berjaya merangkul gelaran Terbuka Russia Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 2:28 PM