PENG Soon (kiri) mengesahkan akan bergandingan degan Liu Ying dalam saingan Malaysia Masters.
PENG Soon (kiri) mengesahkan akan bergandingan degan Liu Ying dalam saingan Malaysia Masters.
Helmi Talkah

SELEPAS enam bulan berpisah, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying akan bergandingan semula, Januari depan.

Peng Soon yang mengesahkan perkara itu, berkata ia boleh dianggap motivasi terbaik buat mereka terutama dalam menghadapi beberapa kejohanan besar tahun depan termasuk Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.

“Mengikut perancangan jurulatih, kejohanan pertama saya bersama Liu Ying pada saingan Malaysia Masters. Ini sesuatu yang positif untuk kami bagi menghadapi kejohanan besar tahun depan.

“Saya harap Liu Ying tidak lagi akan dihantui kecederaan dan begitu juga saya. Saya harap kami boleh kembali pada prestasi terbaik kami seperti sebelum ini,” kata Peng Soon yang ditemui selepas majlis penajaan dan memperkenalkan pemain Kelab (KB) Badminton Ampang Jaya di sini, hari ini.

Peng Soon-Liu Ying yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 terpaksa dipisahkan selepas Liu Ying menjalani pembedahan bahu, Mei lalu.

Ketiadaan Liu Ying menyaksikan Peng Soon digandingkan bersama pemain beregu campuran muda negara, Cheah Yee See.

Kombinasi yang dibentuk Peng Soon-Yee See menunjukkan petanda positif apabila mereka menghasilkan beberapa keputusan cemerlang termasuk menjuarai Grand Prix Terbuka Russia selain layak ke separuh akhir Siri Super Premier Terbuka Denmark, bulan lalu.

Malah, mereka mara ke separuh akhir Terbuka Macau sebelum tewas di tangan pasangan China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong, awal bulan ini.

Liu Ying pula akan memulakan aksi dengan pasangan baharu, Chen Tang Jie pada kejohanan Siri Antarabangsa India dari 23 hingga 26 November ini dan Cabaran Antarabangsa India (29 November hingga 3 Disember).

Ia sebagai langkah permulaan untuk dia mendapat semula rentak permainannya.

Peng Soon-Yee See akan beraksi bersama buat kali terakhir pada saingan Korea Masters yang bermula 28 November ini.

“Saya harap kami boleh catat keputusan positif di Korea nanti. Sepanjang saya bergandingan dengan Yee See, dia menunjukkan peningkatan yang sangat baik namun masih ada lagi kelemahan yang perlu dia perbaiki.

“Yee See perlu bekerja keras dan dia ada potensi yang besar,” kata Peng Soon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 6:09 PM