MOYES gagal menang pada perlawanan pertamanya bersama West Ham. -Foto Reuters
MOYES gagal menang pada perlawanan pertamanya bersama West Ham. -Foto Reuters
AFP

WATFORD: David Moyes membuka kempen pertamanya selaku pengendali West Ham United dengan langkah kiri apabila skuad bimbingannya tumbang 0-2 di tangan Watford, dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Bekas pengurus Manchester United itu menggantikan Slaven Bilic yang dipecat, namun kehadirannya ternyata belum mampu mencetuskan kebangkitan untuk pasukan terbabit.

Dalam aksi pagi tadi, Will Hughes meletakkan Watford di depan pada minit ke-11, sebelum gol kedua oleh Richarlison di babak kedua (minit ke-64) menyaksikan West Ham United terus kempunan meraih kemenangan dalam lima aksi terakhir.

Moyes kini perlu bekerja keras untuk pasukan baharunya yang mempamerkan prestasi hambar apabila tewas tiga daripada lima perlawanan terakhir, menyebabkan pasukan itu kini menghuni zon penyingkiran.

HUGHES (kanan) meraikan jaringan pertama Watford. -Foto Reuters
HUGHES (kanan) meraikan jaringan pertama Watford. -Foto Reuters

“Ramai yang menjangkakan persembahan yang lebih bagus, namun saya kecewa kami tidak dapat beraksi dengan baik. Kami terlepas beberapa peluang keemasan,” kata Moyes.

“Pasukan yang lebih baik memenangi perlawanan, namun masih ada peluang untuk mengubah situasi ini. Kami perlu meningkatkan persembahan,”

Sementara itu, kejayaan Watford yang bangkit selepas tewas tiga aksi berturut-turut menunjukkan mengapa Everton cuba untuk memancing pengendalinya, Marco Silva ke Goodison Park.

Setakat ini, Watford enggan melayan minat Everton yang mahukan khidmat bekas pengendali Hull City yang baharu sahaja menyertai pasukan awal tahun ini.

“Pemain bekerja bersama saya dan mereka tahu komitmen saya. Saya tidak mahu membincangkan mengenai masa depan kerana saya mahu bersedia untuk perlawanan seterusnya,” kata Silva.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 9:08 AM