ZULFADLI antara empat pemain negara yang mara separuh akhir kejohanan bertaraf GP Emas. FOTO/HASRIYASYAH SABUDIN
ZULFADLI antara empat pemain negara yang mara separuh akhir kejohanan bertaraf GP Emas. FOTO/HASRIYASYAH SABUDIN
Ferzalfie Fauzi

BERDASARKAN prestasi perseorangan lelaki negara setakat ini, hanya empat pemain yang mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir kejohanan bertaraf Grand Prix (GP) Emas, sekali gus memberi bayangan awal siapa berhak berada dalam skuad Piala Thomas 2018.

Seorang daripada mereka ialah juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli yang berjaya mara sehingga ke separuh akhir Terbuka Macau walaupun dia mengambil keputusan menarik diri perlawanan itu semalam, berikutan kecederaan buku lali.

Menurut pemain profesional itu, memang menjadi idaman semua pemain beraksi di kejohanan berprestij berkenaan yang boleh dianggap sebagai ‘Piala Dunia’ dalam sukan badminton.

“Tidak ada pemain yang tidak mahu bermain di Piala Thomas dan tidak ada pemain yang tidak mahu mewakili negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Zulfadli yang pernah beraksi dalam skuad kelayakan Piala Thomas 2016, tidak mahu memberi sebarang komen lanjut mengenai pemilihan kali ini kerana semuanya bergantung kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Apapun, berdasarkan prestasi Datuk Lee Chong Wei paling menyerlah walaupun prestasinya kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini apabila berjaya muncul juara Seluruh England, naib juara Terbuka Malaysia dan Jepun serta mara sehingga ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia.

Chong Wei juga dilihat mempunyai pengalaman luas berbanding tiga lagi pemain lain Zulfadli, Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven.

Zii Jia pula walaupun berusia 19 tahun tapi pada musim ini sudah berjaya mara sebanyak tiga kali di separuh akhir kejohanan bertaraf GP Emas, iaitu Masters Thailand, Terbuka Taiwan dan Terbuka Bitburger.

Dalam pada itu, Zii Jia yang juga pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Dunia 2016 di Bilbao, Sepanyol berjaya merangkul trofi sulung di peringkat senior apabila menumpaskan Joo Ven dalam perlawanan akhir Siri Antarabangsa Poland September lalu.

Joo Ven pula menunjukkan sedikit peningkatan tahun ini dengan mara ke separuh akhir Terbuka Thailand, Jun lalu.

Baru-baru ini, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek sekurang-kurangnya perlu mempunyai bayangan awal sehingga bulan depan untuk skuad kelayakan dan Piala Thomas 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 5:21 PM