Zii Jia gagal lepasi cabaran Momota (gambar kecil) pada separuh akhir Terbuka Republik Czech. -Foto Agensi
Zii Jia gagal lepasi cabaran Momota (gambar kecil) pada separuh akhir Terbuka Republik Czech. -Foto Agensi
Ferzalfie Fauzi


BIARPUN Kento Momota baru empat bulan beraksi di pentas antarabangsa selepas penggantungan, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui bintang muda Jepun itu masih lagi berbisa ketika mereka berentap pada separuh akhir Terbuka Republik Czech semalam.

Zii Jia yang berusia 19 tahun tumpas 8-21, 10-21 sekali gus terlepas peluang untuk mara ke perlawanan akhir buat kali kedua musim ini selepas berjaya melakukannya di Siri Antarabangsa Poland.

“Ini pengalaman yang amat berguna buat saya kerana menentang bekas pemain nombor dua dunia. Saya tetap menganggap dia antara pemain terbaik dunia,” katanya hari ini.

Zii Jia yang berasal dari Alor Setar mengakui masih banyak lagi perlu dilakukan untuk memperbaiki permainannya setanding Momota terutama selepas kali pertama menentang pemain berusia 23 tahun itu.

“Dia lebih berpengalaman berbanding saya, dia tahu bagaimana untuk mengalahkan saya. Saya pula sering tertekan ketika berdepannya. Apa pun saya perlu kembali fokus kerana selepas ini akan beraksi di kejohanan lebih besar iaitu Terbuka Bitburger,” katanya yang menduduki ranking ke-62 dunia.

Ia kali keempat Zii Jia berjaya mara ke separuh akhir musim ini selepas Masters Thailand, Terbuka Taiwan dan Siri Antarabangsa Malaysia.

Dia yang meraih gangsa di Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu, tidak meletakkan sebarang sasaran dalam penampilan sulung di Terbuka Bitburger.

Minggu lalu, Zii Jia meraih kejuaraan sulung di peringkat senior selepas muncul juara Siri Antarabangsa Poland apabila menumpaskan rakan senegara, Soong Joo Ven 21-17, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 7:46 PM