AZLAN (kiri) harap pemain senior mampu beri tunjuk ajar kepada pemain muda. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
AZLAN (kiri) harap pemain senior mampu beri tunjuk ajar kepada pemain muda. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Azizan Hashim


BEKAS pemain kebangsaan, Azlan Misron berharap barisan pemain berpengalaman dalam skuad Perak dapat memberi sumbangan berkesan kepada tuan rumah di Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-55 yang dijadualkan di Stadium Azlan Shah, Ipoh, esok.

Pemain kelahiran Chepor itu akan mengguna segala pengalamannya untuk membimbing rakan sepasukan, terutama pemain muda bagi merealisasikan impian menjuarai kejohanan yang dijadualkan berlangsung selama lapan hari itu.

Selain Azlan, Perak turut membariskan pemain berpengalaman termasuk Roslan Jamaluddin, Hafifihafiz Hanafi, Hairul Nizam Rani, Aziz Fitri serta Mohd Reduan Nasir.

Bekas kapten pasukan hoki negara yang mempunyai 314 kap itu yakin, kemampuan pasukan tuan rumah kali ini akan menjadikan Perak antara pencabar terutama di peringkat kumpulan.

“Kami mempunyai barisan seimbang iaitu tenaga pemain muda yang digabungkan dengan pengalaman pemain senior.

HAFIFIHAFIZ  (kiri) antara pemain berpengalaman Perak. FOTO/OSMAN ADNAN
HAFIFIHAFIZ (kiri) antara pemain berpengalaman Perak. FOTO/OSMAN ADNAN

“Sebagai pemain senior, kami akan membantu pemain muda dan bertenaga dalam kempen kali ini,” katanya.

Begitupun, Azlan sedar tugas berat yang menanti mereka kerana pencabar lain juga memiliki kemampuan tersendiri termasuk membariskan pemain berpengalaman.

Perak yang kali terakhir muncul juara pada 2014, diundi dalam kumpulan B, bersama PDRM, Negeri Sembilan dan Johor.

Pada tahun lalu, skuad bimbingan jurulatih Mohd Nizam Mohd Hashim menduduki tempat ketiga dan kali ini, mereka akan membuka kempen bertemu Negeri Sembilan.

Tuan rumah bagaimanapun tidak akan mendapat khidmat kapten kebangsaan, Mohamad Shukri Mutalib, Mohamad Izad Hakimi Jamaludin dan Meor Muhammad Azuan Hasan yang mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 2:40 PM