PEMAIN Perak, Mohamad Ashran Hamsani (tengah) bersaing mendapatkan bola dengan pemain Johor, Muhammad Firdau Fauzi (kanan) dalam Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak. -Foto MUHAIZAN YAHYA
PEMAIN Perak, Mohamad Ashran Hamsani (tengah) bersaing mendapatkan bola dengan pemain Johor, Muhammad Firdau Fauzi (kanan) dalam Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak. -Foto MUHAIZAN YAHYA
Azizan Hashim


JURULATIH Perak, Mohd Nizam Mohd Hashim menuntut persembahan bertenaga daripada anak buahnya apabila turun bertemu Melaka dalam separuh akhir Divisyen Satu Kejohanan Hoki Piala Razak di Stadium Azlan Shah, Ipoh, petang ini.

“Menentang Melaka tidak pernah mudah. Hanya aksi mantap akan dapat menjamin kejayaan.

“Jadi saya berharap pemain Perak akan mempamer aksi terbaik mereka bagi menjamin kemaraan kami ke final,” katanya.

Nizam juga berharap pakar pukulan sudut penalti Perak menepati sasaran dan tidak mensia-siakan peluang.

Pada masa sama, jurulatih itu juga menagih sokongan padu penyokong tuan rumah bagi menyemarak semangat pasukan.

“Penonton boleh memainkan peranan membantu kejayaan pasukan.

“Sokongan dan sorakan mereka akan menyemarak semangat pemain.

“Oleh itu saya harap penyokong hadir beramai-ramai ke stadium petang ini,” katanya.

Sementara itu kapten tuan rumah, Azlan Misron yakin rakan sepasukan akan bermain dengan sepenuh hati untuk menghasilkan kejayaan.

“Kami mahu rangkul gelaran di bumi Perak dan di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, juara bertahan, Terengganu akan menghadapi Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 3:17 PM