PEMAIN Perak, Muhammad Haziq Samsul (tiga dari kiri) meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kedua dalam Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak di Stadium Azlan Shah, Ipoh. -Foto MUHAIZAN YAHYA
PEMAIN Perak, Muhammad Haziq Samsul (tiga dari kiri) meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kedua dalam Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak di Stadium Azlan Shah, Ipoh. -Foto MUHAIZAN YAHYA
Azizan Hashim


KETUA jurulatih Perak, Nizam Mohd Hashim berharap bentengnya tidak alpa hingga dihukum lawan ketika mengharungi kejohanan Hoki Piala Razak Edisi ke-55 yang sedang berlangsung di Stadium Azlan Shah, Ipoh.

Nizam membuat teguran itu berikutan kealpaan yang dilakukan pemain di posisi berkenaan ketika menentang Negeri Sembilan, malam tadi.

Walaupun lega anak buahnya mengutip mata penuh hasil kejayaan 3-2, Nizam bimbang gejala itu mampu menjejas pencapaian tuan rumah jika tidak segera diatasi.

Tambahan pula lawan mereka seterusnya ialah naib juara lalu, PDRM yang membariskan beberapa pemain kebangsaan seperti Baljit Singh dan Razie Rahim.

Justeru Nizam akan menggunakan tempoh rehat sehari hari ini untuk memperbaiki kepincangan pasukan sebelum turun jam 8 malam esok.

Jurulatih itu berharap pemain Perak akan mengulangi persembahan berkesan seperti pada babak ketiga ketika menentang Negeri Sembilan namun perlu berwaspada dengn PDRM yang turun dengan azam meraih mata penuh selepas terikat 4-4 dengan Johor, malam tadi.

“Mereka ibarat harimau luka ketika ini dan sungguh berbahaya. Pemain Perak perlu lebih berhati-hati, ” katanya.

Ketika menentang Negeri Sembilan malam tadi, Perak tidak dapat menurunkan penjaga gol berpengalaman Roslan Jamaluddin yang terbabit tugasan Piala Asia Wanita di Kakamigahara, Jepun, yang tempatnya digantikan Fitri Abd Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 3:39 PM