AKSI pemain PDRM, Mohd Razie Rahim (tengah) di kawasan pertahanan Perak. FOTO/ABDULLAH YUSOF
AKSI pemain PDRM, Mohd Razie Rahim (tengah) di kawasan pertahanan Perak. FOTO/ABDULLAH YUSOF
Azizan Hashim


JARINGAN Muhamad Akmal Mohd Tajudin enam minit sebelum tamat menyelamatkan tuan rumah, Perak daripada mengalami kekalahan di tangan naib juara, PDRM dalam saingan Kumpulan B, Kejohanan Hoki Piala Razak Edisi ke-55 di Stadium Azlan Shah, sebentar tadi.

Akmal menghulurkan kayunya untuk menolak masuk hantaran rakan sepasukan bagi mengikat PDRM 2-2 seterusnya mengutip satu mata berharga untuk Perak kekal di kedudukan teratas kumpulan dengan empat mata.

Perak kini hanya perlu mengutip satu mata dalam perlawanan terakhir bertemu Johor, khamis ini. PDRM pula menduduki tempat kedua dengan dua mata, mengatasi Johor yang seri 1-1 dengan Negeri Sembilan berdasarkan perbezaan jaringan.

Sebarang peluang untuk pasukan itu kini bergantung pada pertemuan dengan Negeri Sembilan nanti. Pada perlawanan sebentar tadi, Perak nyata lambat panas dengan anak buah Nizam Hashim hanya mendapat rentak pada suku ketiga dan terakhir perlawanan untuk memadam kelebihan pelawat yang mendahului menerusi jaringan penalti strok Baljit Singh pada minit ke-14.

PEMAIN Perak, Mohd Riduan Mohamad Nasir (kiri) mengasak pemain PDRM, Shello Silverius di Stadium Azlan Shah, Ipoh. FOTO/ABDULLAH YUSOF
PEMAIN Perak, Mohd Riduan Mohamad Nasir (kiri) mengasak pemain PDRM, Shello Silverius di Stadium Azlan Shah, Ipoh. FOTO/ABDULLAH YUSOF

PDRM mengasak ke kubu Perak selepas itu tetapi mendapati Roslan Jamaluddin masih sukar dibolosi di gawang lawan manakala pemain Perak bagaikan hilang idea dengan kerap melakukan kesilapan serta mudah hilang bola.

Bersambung suku ketiga, pemain tuan rumah mula mendapat rentak untuk memberikan tekanan terhadap PDRM dan usaha mereka berjaya apabila Syed Mohammad Syafiq Syed Cholan menyamakan kedudukan daripada pukulan sudut penalti pada m-36.

Begitupun Mohd Razie Rahim meletakkan PDRM kembali di depan pada minit ke-44 sebelum Akmal menafikan kemenangan mereka. Sementara itu, Johor dan Negeri Sembilan sama handal apabila terikat 1-1 dengan Johor membuka jaringan menerusi Alfarico Lanca Riau pada minit keempat tetapi dipadam jaringan G Kevin Katik menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-14.

PEMAIN PDRM, Mohd Razie Rahim (tengah) dihalang penjaga gol Perak, Roslan Jamaluddin. FOTO/ABDULLAH YUSOF
PEMAIN PDRM, Mohd Razie Rahim (tengah) dihalang penjaga gol Perak, Roslan Jamaluddin. FOTO/ABDULLAH YUSOF

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 11:52 PM