ANSELMO ARRUDA
ANSELMO ARRUDA
Syafiq Aznan


WALAUPUN saingan Liga Perdana musim ini baru sahaja memasuki tiga perlawanan, dua pemain import dari Brazil sudah membuktikan ‘bisa’ mereka selepas meledak hatrik dalam saingan divisyen dua itu.

Bukan setakat melakar hatrik, dua pemain import terbabit iaitu penyerang FELCRA FC, Anselmo Arruda dan pemain FELDA United, Gilberto Fortunato turut mengungguli carta penjaring terbanyak selepas masing-masing meledak lima gol.

Gilberto menjadi pemain pertama mencipta hatrik apabila membantu skuad ‘The Fighters’ membenam PDRM 6-2 pada aksi kedua sebelum Anselmo yang lebih dikenali Cassagrande meledak tiga gol dalam tempoh enam minit terakhir untuk membantu FELCRA FC bangkit menumpaskan Sarawak 3-2 pada aksi ketiga.

FORTUNATO (dua dari kanan) menanduk gol masuk ketika menentang Pulau Pinang dalam perlawanan Liga Perdana. -Foto fail
FORTUNATO (dua dari kanan) menanduk gol masuk ketika menentang Pulau Pinang dalam perlawanan Liga Perdana. -Foto fail

Dua pemain tempatan paling menyerlah setakat ini adalah pemain sayap Pulau Pinang, Azinee Taib dan pemain Sarawak, Bobby Gonzales selepas masing-masing berjaya menyumbat dua gol.

Selepas tiga perlawanan, seramai 32 pemain berjaya mencetak gol buat pasukan masing-masing yang menyaksikan 51 gol dapat dihasilkan dalam 18 perlawanan setakat ini.

Mengulas mengenai prestasi pasukan, FELDA United di bawah bimbingan B Sathianathan menepati jangkaan apabila menjadi satu-satunya pasukan yang meraih mata penuh dalam tiga aksi sekali gus mengungguli carta.

Menerusi kemenangan tipis 2-1 ke atas UKM FC disusuli kemenangan 6-2 ke atas PDRM sebelum membenam Pulau Pinang 3-0, skuad yang ‘diturunkan pangkat’ itu berjaya mengutip sembilan mata dan meledak 11 gol serta dibolosi tiga jaringan.

Mengekori rapat ialah Sabah yang menghuni tangga kedua selepas meraih dua kemenangan dan satu keputusan seri untuk mengutip tujuh mata.

Sementara itu, empat pasukan masih gagal meraih sebarang kemenangan iaitu Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Kuantan FA, T-Team dan PDRM dengan T-Team dan PDRM berada dalam zon penyingkiran selepas sekadar mengutip satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 4:42 PM