AKSI antara KL City dan Kedah malam tadi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. FOTO OWEE AH CHUN
AKSI antara KL City dan Kedah malam tadi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. FOTO OWEE AH CHUN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur Selepas agak tumpul dalam beberapa aksi Liga Super sebelum ini, akhirnya penyerang baharu Kuala Lumpur City FC (KL City), Jordan Mintah membuktikan ketajamannya apabila membantu KL City membenam Kedah Darul Aman FC dengan 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu cukup bermakna apabila skuad kendalian Bojan Hodak bangkit daripada ketinggalan pada babak pertama sebelum meledak dua gol untuk mengutip tiga mata penuh.

Dalam aksi itu, pelawat mendahului menerusi tandukan Aiman Afif di minit 42 selepas bijak membaca hantaran lintang Syazwan Zainon.

Sebaik wisel babak kedua ditiupkan, KL City sebaliknya tampil lebih kemas untuk mendominasi aksi.

Habuannya skuad The City Boys berjaya meledak dua gol menerusi sepakan penalti Mintah di minit 56 dan satu lagi gol di minit 73 untuk meletakkan pasukannya memimpin aksi.

Kemenangan itu cukup melegakan Hodak yang sebelum itu gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tiga aksi Liga Super apabila hanya mencatat dua seri dan satu kekalahan.

Begitupun kekalahan itu pastinya mengecewakan pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak apabila anak didiknya gagal meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Sarawak United minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 11:07 PM