ALFONSO (tengah) belum menyerlah dalam empat aksi bersama Selangor. - FOTO MOHD BADLISHAH MOHD ALI
ALFONSO (tengah) belum menyerlah dalam empat aksi bersama Selangor. - FOTO MOHD BADLISHAH MOHD ALI
Syafiq Aznan


MUNGKINKAH pemain tengah bertahan Selangor, Alfonso de la Cruz menjadi pemain import pertama yang bakal ditunjukkan jalan keluar bagi musim 2018?

Selepas diturunkan dalam kesebelasan utama skuad The Red Giants dalam semua empat perlawanan musim ini, pemain berusia 31 tahun itu masih gagal menunjukkan persembahan yang menyakinkan meskipun membantu pasukannya meraih dua kemenangan setakat ini

Malah, penampilannya pada aksi bertemu Pahang malam tadi sekadar bertahan selama 33 minit sebelum dikeluarkan oleh pengendali, P Maniam dan digantikan dengan pemain muda import dari Indonesia, Ilham Udin Armaiyn.

Menjelaskan berhubung pertukaran itu, Maniam berkata keputusan terbabit terpaksa diambil selepas bekas pemain CD Ebro itu dilihat kehilangan punca pada aksi berkenaan.

“Dia bekerja dengan keras namun tidak begitu memainkan peranannya dengan baik. Dia tidak begitu membantu pasukan ketika kami cuba membina serangan.

“Jadi, kita dapat lihat kemasukan Ilham sedikit membantu kami untuk menjana serangan. Namun keputusan mengenai perubahan pada jendela perpindahan nanti, saya tidak boleh komen mengenai perkara itu buat masa ini,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Meskipun gagal untuk beraksi dengan baik selaku pemain tengah bertahan, namun pemain kelahiran Sepanyol itu dilihat berpotensi untuk beraksi di posisi pertahanan susulan memiliki kelebihan dari sudut fizikal.

Mengulas lanjut kekalahan 1-3 yang dilakar pasukannya, Maniam mengakui jaringan kedua Pahang merentap semangat mereka untuk bangkit selepas berjaya mengikat kedudukan pada babak pertama walaupun ketinggalan seawal minit ketujuh.

“Perubahan yang dilakukan nampak mendatangkan hasil namun gol pada permulaan babak kedua itu sedikit sebanyak membunuh corak permainan kami.

“Jika kami tidak dibolosi dengan gol kedua itu, berkemungkinan besar kami ada peluang yang lebih baik untuk bangkit,” katanya.

Pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi, Selangor dihadiahkan kekalahan kedua berturut-turut musim ini apabila dibenam skuad Tok Gajah, 3-1 hasil dua jaringan bekas penyerang importnya, Francis Forkey Doe dan juga gol dari Patrick Cruz.

habis

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 2:13 PM