KETANGKASAN Alisson bantu Roma ikat Atletico.
KETANGKASAN Alisson bantu Roma ikat Atletico.
AFP

ROME: Persembahan luar biasa penjaga gol Brazil, Alisson membantu AS Roma mengikat Atletico Madrid 0-0 pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Perlawanan terbuka dan sengit di Stadio Olimpico mengesahkan pertarungan tiga penjuru dalam Kumpulan C selepas Chelsea membelasah kelab pendatang baru dari Azerbaijan, Qarabag 6-0.

Beberapa tindakan penyelamat Alisson, terutama pada babak kedua apabila Atletico menyerang bertalu-talu, mengecewakan pasukan kendalian Diego Simeone tatkala jurulatih Argentina itu kembali ke stadium yang amat dikenalinya ketika bergelar pemain Lazio.

“Kami perlu memuji penjaga gol kerana Alisson melakukan tugas hebat,” kata Simeone.

PENYERANG Roma, Diego Perotti (kanan) melepasi pertahan Atletico Juanfran (tengah).
PENYERANG Roma, Diego Perotti (kanan) melepasi pertahan Atletico Juanfran (tengah).

“Percubaan semuanya tepat, kecuali sepakan Saul Niguez terkena palang, percubaan Koke, dua atau tiga daripada Saul diselamatkan - dia bertindak luar biasa.

“Perkara paling penting dalam bola sepak bukannya seni tapi gol dan kami kekurangan gol, jadi Roma berhak meraih satu mata. Saya harap mata ini berharga pada masa depan jadi kami boleh terus bersaing dalam Liga Juara-Juara.”

Jurulatih Itali, Eusebio Di Francesco mengakui Roma bergelut dengan tahap kecergasan pemain.

“Kami cemerlang pada babak pertama. Kami merudum sedikit selepas itu, terutamanya secara fizikal, tapi saya puas hati pasukan bertindak baik merebut mata sukar ini,” jelas Di Francesco.

Penjaga gol Brazil, Alisson ternyata unggul menafikan Luciano Vietto dan Saul pada awal babak kedua serta dua percubaan berbahaya Angel Correa pada minit ke-64 dan 83 serta satu lagi tandukan Saul pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 12:47 PM