URUGUAY bakal melayan Argentina pada saingan kelayakan Piala Dunia 2018.
URUGUAY bakal melayan Argentina pada saingan kelayakan Piala Dunia 2018.
MESSI (dua dari kiri) berlatih bersama rakan sepasukan.
MESSI (dua dari kiri) berlatih bersama rakan sepasukan.
AFP

MONTEVIDEO: Luis Suarez mungkin berdepan rakan sepasukan Barcelona, Lionel Messi awal pagi Jumaat ini ketika saingan merebut tempat ke Piala Dunia 2018 zon Amerika Selatan bersambung dengan Argentina bertandang ke Uruguay sebagai perlawanan tumpuan utama.

Ketika pendahulu Brazil sudah memastikan tempat ke pusingan akhir tahun depan, tumpuan beralih kepada perebutan bagi baki tiga tempat automatik ditawarkan dalam pusingan kelayakan membabitkan 10 pasukan itu.

Colombia di tangga kedua kedudukan dengan 24 mata manakala Uruguay dan Chile menghuni dua lagi tempat automatik dengan 23 mata.

Ia bermakna pasukan tangga kelima Argentina tidak boleh melakukan sebarang kesilapan ketika mereka menuju ke Estadio Centenario di Montevideo bagi pertembungan permusuhan bersejarah dan terbaru dengan Uruguay.

Argentina bergelut dalam aksi kelayakan setakat ini, menang hanya enam kali dalam 14 perlawanan, namun menunjukkan tanda-tanda kebangkitan di bawah kendalian jurulatih baru Jorge Sampaoli.

Sampaoli, yang mengemudi kejayaan Chile pada Copa America 2015, mengambil alih Albiceleste Mei lalu dan bermula dengan kemenangan pencetus semangat 1-0 ke atas Brazil pada aksi persahabatan Jun lalu.

“Kini kami perlu mengejar untuk layak ke Piala Dunia,” kata Sampaoli semalam.

Uruguay pula mempertaruhkan kecergasan bintang Barcelona, Suarez.

Pemain berusia 30 tahun itu awalnya diketepikan kerana kecederaan namun kembali ke negaranya untuk berlatih dengan pasukan.

Jurulatih veteran Oscar Tabarez membayangkan Suarez mungkin melakukan penampilan dramatik awal pagi Jumaat ini, enggan mengetepikan penyerang itu.

“Dia menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang mengejutkan kami,” ujar Tabarez.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 1:03 PM