TABAREZ (kanan) mahu pemain kekal fokus. -Foto Reuters
TABAREZ (kanan) mahu pemain kekal fokus. -Foto Reuters
AFP

JURULATIH veteran Uruguay Oscar Tabarez menegaskan awal pagi ini bahawa sukar untuknya meramalkan apa-apa selepas Peru dibelasah Brazil 5-0 menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada suku akhir Copa America.

Biarpun Uruguay menjuarai kumpulan hasil kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan Chile, Peru pula terpaksa melalui jalan sukar ke peringkat kalah mati itu selepas kecundang pada perlawanan akhir kumpulan.

Uruguay diramal mara ke peringkat seterusnya apabila kedua-dua pasukan bertemu di Salvador awal pagi esok.

“Apa yang berlaku ke atas mereka ketika menentang Brazil adalah kemalangan dalam bola sepak, ia bukan selalu berlaku,” kata Tabarez,72.

“Esok, Peru mempunyai peluang dan jika kami berada dalam situasi itu, kita juga akan berjuang bermati-matian.

“Itulah sebabnya saya menjangkakan perlawanan yang sukar. Apabila sesuatu seperti ini berlaku, ketika itulah semangat cintakan diri bangkit dalam pasukan dan jurulatih akan menemui satu pasukan berbeza yang sedia menunjukkan kebangkitan.”

Tabarez merujuk kepada perubahan nasib Argentina untuk menunjukkan betapa prestasi boleh berubah tiba-tiba.

Argentina di tangga tercorot kumpulan selepas dua perlawanan tetapi awal pagi tadi mereka menewaskan Venezuela 2-0 untuk mara ke separuh akhir.

“Seperti yang saya katakan tempoh hari: siapa berani menidakkan Argentina dan tiada siapa pun berkata apa-apa. Kini, perkara sama berlaku terhadap Peru,” kata Tabarez.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 10:40 AM