Ketajaman Suarez (kiri) dan Cavani belum terbukti. FOTO AFP
Ketajaman Suarez (kiri) dan Cavani belum terbukti. FOTO AFP
Reuters

SAMARA, Russia: Diperkuatkan Luis Suarez dan Edinson Cavani, jentera serangan Uruguay dijangka mengganas di Piala Dunia tetapi selepas berakhir peringkat kumpulan, kekebalan benteng pertahanan mereka lebih mendapat tumpuan.

Berakhir tiga perlawanan, Uruguay menyumbat empat gol tetapi gawang mereka yang dikemudi penjaga gol, Fernando Muslera masih belum dibolosi.

Sekali pun Suarez yang menjaringkan 31 gol bersama Barcelona dan Cavani hadir selaku penjaring terbanyak Ligue 1 dengan 40 gol bersama Paris Saint-Germain meledak ketika menewaskan Russia 3-0, mereka begitupun masih dianggap belum menyinar.

Sebelum meraih kemenangan selesa ke atas tuan rumah, Uruguay hanya meraih kemenangan 1-0 pada dua aksi awal menentang Mesir dan Arab Saudi ketika Russia sudah pun menyumbat tujuh gol.

“Ayat keramat dalam bola sepak ialah ‘keseimbangan’,” kata jurulatih, Ozcar Tabarez.

“Apabila kami menyerang, kami perlu mampu untuk menyerang, tetapi ia bukannya abstrak kerana penguasaan bola boleh dikembalikan atau datang daripada kerja baik bahagian pertahanan.

“Kami bekerja dalam keseimbangan sepanjang masa.”

Lawan Uruguay berikutnya di peringkat 16 terakhir ialah naib juara Kumpulan B, Portugal pada Sabtu ini di Sochi dengan mereka dijangka berdepan peledak utama, Cristiano Ronaldo yang mensasarkan anugerah Kasut Emas.

Begitupun, penyerang Real Madrid itu mungkin mendapati gawang Uruguay begitu ampuh untuk dibolosi berikutan prestasi baik mereka setakat ini.

“Apa yang kami perlu lakukannya ialah menggunakan gaya permainan kami kepada pihak lawan. Dengan itu, kamu akan menang. Itulah yang kamu lakukan di Piala Dunia,” kata Tabarez.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 8:26 PM