CHONG Wei ketika menentang Hyun Il pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2018 di Axiata Arena, Bukit Jalil. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
CHONG Wei ketika menentang Hyun Il pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2018 di Axiata Arena, Bukit Jalil. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Helmi Talkah 


 

JAGUH perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei meletakkan dirinya sebagai bukan pilihan apabila bertemu pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen pada aksi suku akhir Terbuka Malaysia, esok.

Pemain nombor enam dunia itu mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan pemain profesional Korea Selatan, Lee Hyun Il  21-7, 21-7 di Arena Axiata Bukit Jalil.

Manakala Axelsen mara hasil kemenangan ke atas Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand 23-21, 19-21, 21-11 dalam aksi pusingan kedua, hari ini.

Bagi Chong Wei, 36, Axelsen adalah pilihan untuk memenangi perlawanan esok, tetapi dia menegaskan akan memberi aksi terbaik dalam usaha merealisasikan misi peribadinya untuk meraih gelaran ke-12 Terbuka Malaysia.

“Axelsen adalah pemain nombor satu dunia, jadi saya tidak akan rugi apa-apa apabila menentangnya. Namun, saya berjanji akan mempamerkan aksi terbaik bagi memberi tentangan kepada dirinya.

“Saya juga ada misi pada Terbuka Malaysia kali ini iaitu mahu meraih gelaran kali ke-12. Saya mahu mencipta rekod dalam kejohanan ini dan menjadikan ia sesuatu yang mustahil untuk pemain lain mengatasinya,” kata Chong Wei selepas perlawanan dengan Hyun Il.

Berdasarkan rekod pertemuan terakhir, kelebihan sedikit memihak kepada Chong Wei apabila mengatasi Axelsen yang juga juara dunia 2017 pada saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand, bulan lalu.

Dalam pada itu, Chong Wei turut memuji semangat yang ditunjukkan Hyun Il biarpun sudah berusia 38 tahun.

“Kali terakhir, saya bertemu Hyun Il adalah pada Seluruh England 2012, walaupun kemenangan saya hari ini dianggap mudah tetapi saya kagum dengan semangat Hyun Il yang sehingga sekarang masih beraksi.

“Dia adalah senior saya dalam sukan badminton,” katanya.

Sementara itu, juara bertahan, Lin Dan ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua hari ini selepas tewas di tangan rakan senegara, Shi Yuqi 19-21, 12-21.

Shi Yuqi akan bertemu pemain Indonesia, Tommy Sugiarto bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 9:21 PM