Reuters

London: Penyerang Chelsea, Michy Batshuayi (gambar) lebih klinikal berbanding pemenang kasut emas Liga Perdana musim lalu Harry Kane, menurut bekas pemain sayap kelab barat London itu, Pat Nevin.

Nevin, bekas pemain kebangsaan Scotland yang beraksi buat Chelsea selama lima tahun dari 1983, turut menganggap pemain Belgium itu sebagai penyerang utama kelab juara itu tahun ini di sebalik kehadiran penyerang Sepanyol, Alvaro Morata dari Real Madrid.

Ketika Diego Costa dikhabarkan akan berpindah dari Stamford Bridge sebelum berakhirnya jendela perpindahan, Nevin berkata, Batshuayi yang berusia 25 tahun adalah pemain ideal untuk mengemudi kempen mempertahankan kejuaraan Chelsea.

“Lihat kepada angka dan anda boleh saksikan mengenainya (Batshuayi). Golnya bagi setiap minit berbanding purata perlawanan musim lalu adalah yang terbaik di kelab dan antara terbaik dalam liga,” katanya semalam.

“Sebenarnya, satu gol bagi setiap 79 minit dia berada di tengah padang, dia jauh di depan Harry Kane musim lalu! Pencapaiannya ketika ini lebih menakjubkan dan menjanjikan sesuatu yang amat bagus.”

Perkiraan Nevin berdasarkan pemain Belgium itu menjaringkan sembilan gol dalam 702 minit beraksi bagi semua pertandingan.

Penyerang Tottenham dan England, Kane menyumbat 35 gol dalam 3,154 minit beraksi pada 2016-17, purata 90 minit satu gol.

Batshuayi menyertai Chelsea dari Marseille dengan harga 40 juta euro (RM203 juta) pada Julai tahun lalu. Dia menjaringkan gol kemenangan di West Brom Mei lalu yang memastikan kejuaraan buat anak buah Antonio Conte.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 9:26 AM