BATSHUAYI (kanan) akui tidak dapat masa bermain yang cukup ketika bersama Chelsea. -Foto EPA
BATSHUAYI (kanan) akui tidak dapat masa bermain yang cukup ketika bersama Chelsea. -Foto EPA
AFP

BERLIN: Michy Batshuayi membuka mulut mengenai tempoh mengecewakannya di Chelsea dengan mendakwa dia ‘tidak mendapat masa yang baik’ bersama juara Inggeris itu.

Pemain berusia 24 tahun itu ‘mengganas’ sejak menyertai Borussia Dortmund secara pinjaman, Januari lalu dengan meledak lima gol dalam hanya tiga penampilan.

Penyerang Belgium itu merancang untuk menambah lagi gol ketika perlawanan Bundesliga Jerman melawan Borussia Moenchengladbach yang tewas tiga perlawanan terakhir mereka tanpa menjaringkan gol, hari ini.

Batshuayi meledak dua gol pada penampilan sulungnya di Dortmund ketika menewaskan Cologne 3-2 dalam aksi liga dan sekali lagi mencetak nama selaku penjaring ketika menundukkan Hamburg, minggu lalu.

Persembahan cemerlangnya berterusan, semalam apabila menambah dua lagi gol ketika Dortmund meraih kemenangan 3-2 di laman sendiri menentang Atalanta pada peringkat 32 terbaik Liga Europa.

Selepas berbulan-bulan mengisi bangku simpanan Chelsea bagi memberi ruang kepada pilihan utama, Alvaro Morata, Batshuayi jelas dengan peranan yang dimainkan dengan mengemudi jentera serangan Dortmund.

“Saya tidak mendapat masa yang baik di Chelsea, tetapi saya beraksi dengan baik di sini dan diterima dengan baik oleh rakan sepasukan dan juga penyokong,” kata Batshuayi kepada penyiar Belgium, Sporza.

“Duduk di bangku simpanan, menjaringkan gol dan kembali ke bangku simpanan adalah perkara yang agak sukar untuk diterima terutama bagi penyerang.

“Sebagai pemain muda, kamu memerlukan banyak masa bermain untuk meningkat. Ia sempurna di sini, dan saya mempercayai semua orang.”

Selepas menjual Pierre-Emerick Aubameyang ke Arsenal, Dortmund memerlukan penyerang tetapi Chelsea tidak menawarkan ‘pilihan untuk belian’ dalam perjanjian pinjaman Batshuayi.

Begitupun, dia belum memikirkan mengenai masa depannya dan mahu terus menjaringkan gol untuk Dortmund dan berpeluang disenarai dalam skuad Belgium bagi Piala Dunia.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 2:17 PM