ANTONIO (kiri) akan digandingkan bersama Dominic dibahagian pertahanan.
ANTONIO (kiri) akan digandingkan bersama Dominic dibahagian pertahanan.

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) berkemungkinan besar mempertaruhkan Dominic Tan untuk bergandingan dengan Marcos Antonio bagi menguatkan benteng pertahanan apabila berdepan Ceres Negros FC malam ini.

Penolong jurulatih Johor DT Ismail Ibrahim berkata, kecederaan Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mohd Fadhli Shas menyebabkan rombakan kecil terpaksa dilakukan terhadap posisi bek tengah pasukan.

“Selain Dominic, kami juga memiliki Hasbullah Abu Bakar dan Amirul Hadi Zainal yang mampu menggalas tugas di posisi pertahanan dan kami akan putuskan perkara itu sebelum turun perlawanan nanti.

“Apapun, Gonzalo Cabrera yang tidak diturunkan ketika menentang Melaka United tempoh hari akan kembali menguatkan jentera serangan dan tengah. Dia mungkin berganding dengan Safiq Rahim selepas Nazmi Faiz Mansor belum pasti dapat bermain.

“Afiq Fazail juga akan beraksi di posisi tengah bertahan dan tugasnya adalah untuk menyekat barisan pemain lawan diketuai Manuel Ott,” katanya.

Ismail berkata, tumpuan latihan ketika ini adaslah untuk memastikan kesilapan minit akhir tidak berulang dengan penekanan setiap pemain tidak kira di posisi serangan, tengah mahupun pertahanan sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

Sementara itu, pengendali Ceres Negros FC Risto Vidakovic menyifatkan pertembungan menentang Johor DT adalah seimbang dan mereka mampu memberi tekanan sekali gus melenyapkan harapan tuan rumah untuk melakar kemenangan di laman sendiri.

“Kami akan turun dengan kesebelasan utama selepas semua pemain bebas daripada kecederaan dan penggantungan. Walaupun berat, jika pemain beri komitmen 100 peratus tidak mustahil kemenangan memihak kepada kami,” kata Vidakovic.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 8:50 AM