PEMAIN Johor DT jalani latihan sebelum aksi menentang Ceres Negros FC.
PEMAIN Johor DT jalani latihan sebelum aksi menentang Ceres Negros FC.
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Gabriel Guerra menyeru rakan sepasukan supaya bekerja lebih keras bagi mengumpul bekalan selesa ketika menentang kelab Filipina Ceres Negros FC di separuh akhir pertama Piala AFC Zon Asia Tenggara di Stadium Larkin, malam ini.

Guerra berkata, kemenangan amat penting buat Harimau Selatan mencari modal selesa sebelum bertandang ke Stadium Panaad di Bacolod City, 31 Mei ini.

“Sudah tentu kemenangan penting kerana kami mahu cipta kemenangan sebelum bertandang ke tempat lawan.

“Persiapan kami juga berjalan lancar selepas aksi Liga Super menentang Melaka United, 9 Mei lalu dengan penekanan lebih terarah memperkemaskan semua posisi. Saya yakin kerja keras kami sejak hampir seminggu lalu bakal memberi kesan positif.

“Kemungkinan saya dikawal rapi pasukan lawan, tapi saya akan berusaha meloloskan diri bagi memburu gol. Kerjasama berpasukan penting buat kami mengharungi perlawanan itu nanti,” katanya.

Guerra yang lebih dikenali sebagai Gabby dalam kalangan rakan sepasukannya dilihat semakin berbisa selepas melakar hatrik pada aksi terakhir Kumpulan F untuk membantu Johor DT menewaskan kelab Myanmar Magwe FC 3-1 pada 3 Mei lalu sekali gus mengumpul tujuh gol sepanjang saingan Piala AFC, menyamai pencapaian penyerang import Ceres Bienvenido Maranon.

Guerra bagaimanapun mengaku tidak tahu mengenai kekuatan sebenar Ceres namun tetap berwaspada dengan corak permainan pasukan yang dikenali sebagai The Busmen itu sambil menganggap tempoh 90 minit perlawanan harus digunakan sepenuhnya Johor DT untuk memburu kemenangan.

“Walaupun rekod jaringan saya menyamai Maranon, kami tetap berbeza kerana saya ada cara tersendiri dan dia mungkin ada gayanya. Apapun, matlamat utama saya adalah untuk membantu Johor DT meraih kemenangan dan berharap benteng pertahanan kami mampu menyekat kelicikan pemain import dari Sepanyol itu,” kata Guerra.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 2:33 AM