DR Norazah (dua dari kanan) dan Siti Farhana (dua kiri) menandatangi dokumen MoU, Dr Mohd Mahzan Awang (kanan sekali) dan Muhd Habibunajjar (kanan sekali).
DR Norazah (dua dari kanan) dan Siti Farhana (dua kiri) menandatangi dokumen MoU, Dr Mohd Mahzan Awang (kanan sekali) dan Muhd Habibunajjar (kanan sekali).

Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin hubungan strategik dengan PTTI Group Sdn Bhd melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membina rangkaian profesional melalui kepakaran dalam bidang pendidikan, keusahawanan dan penyelidikan.

Kerjasama yang bakal memberi impak besar kepada kedua-dua pihak ini merangkumi penawaran latihan industri kepada pelajar pra siswazah Fakulti Pendidikan di PPTI Group.

Selain dibimbing dalam merancang dan melaksanakan pemasaran, jerayawara, tugasan pentadbiran serta pelbagai jenis bengkel secara bersemuka dan dalam talian.

Sebahagian dari aktiviti kerjasama ini juga adalah penganjuran ceramah keusahawanan berkaitan bidang pendidikan di UKM, selain PPTI Group menghantar tenaga pengajar untuk melanjutkan pelajaran di UKM di peringkat pasca siswazah.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Datuk Ts Dr Norazah Mohd Nordin berkata, kerjasama itu bakal mendedahkan mahasiswa khususnya dari Fakulti Pendidikan, untuk melengkapkan diri ke arah kerjaya yang lebih mantap dan progresif memandangkan industri pendidikan adalah sangat dinamik.

"Kerjaya perguruan bukan hanya bersifat konvensional iaitu kerjaya dijanjikan wujud di sekolah, malah ia mungkin hadir dalam bentuk yang pelbagai baik dari segi penyediaan modul, penulisan buku teks dan sokongan latihan keguruan, yang memerlukan pendedahan sebenar (real-life exposure)," katanya.

Dokumen MoU itu ditandatangani Dr Norazah dan Pengarah Urusan PTTI Group Sdn Bhd, Siti Farhana Abu Osman yang disaksikan Dekan Fakulti Pendidikan, Prof Dr Mohd Mahzan Awang serta Ketua Pegawai Operasi, Muhd Habibunajjar Sazali.

Sementara itu, Siti Farhana Abu Osman berkata, menerusi MoU ini, kedua pihak akan bersama-sama menyediakan prasarana asas dengan objektif utama memberikan persediaan awal kepada pelajar UKM yang berminat untuk menerima pendedahan dunia industri, seterusnya bersedia menghadapi realiti dunia kerjaya kepada mereka.

"PTTI juga berharap supaya kerjasama yang dijalin ini berupaya meningkatkan motivasi, daya tahan mental dan fizikal selain mampu menjana aspirasi pelajar pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 11:05 AM