PESERTA BICOHAS 2023 di Hotel Crystal Crown. FOTO ihsan FBMK
PESERTA BICOHAS 2023 di Hotel Crystal Crown. FOTO ihsan FBMK

Serdang: Sebanyak 56 kertas kajian merangkumi bidang kesusasteraan, linguistik, ekonomi, perniagaan, perundangan dan sains dibentangkan pada konferensi BODHI International Conference on Humanities, Arts and Science (BICOHAS 2023), baru-baru ini.

Konferensi bermula 23 hingga 25 Februari itu adalah usaha sama antara Jabatan Bahasa Inggeris, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama BODHI International Journal of Research on Humanities, Arts and Science, India.

Seramai 61 peserta terdiri daripada cendekiawan, penyelidik, ahli akademik dan calon Doktor Falsafah (PhD) daripada pelbagai institusi pendidikan dari India dan UPM terbabit.

Pengerusi konferensi, Dr Manimangai Mani berkata, objektif penganjuran kali ketiga ini adalah kesinambungan kepada usaha sama bersama institusi pendidikan di India.

Beliau berkata, ia juga menjadi platform kepada pelajar siswazah UPM membentangkan kertas kerja kajian di peringkat antarabangsa.

"Di samping berkongsi hasil penyelidikan, konferensi ini turut menjadi medan mempromosi program yang ditawarkan di UPM kepada pelajar di India dan berharap usaha sama ini dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang," katanya dalam ucapan aluan.

Konferensi diadakan di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya itu dirasmikan Ketua Jabatan Bahasa Inggeris, FBMK UPM, Prof Madya Dr Arbaayah Ali Termizi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 12:35 PM