Faizah (tiga dari kiri) bersama pelajar China yang menuntut di UPM, Serdang. Foto Ihsan UPM
Faizah (tiga dari kiri) bersama pelajar China yang menuntut di UPM, Serdang. Foto Ihsan UPM
Wartawan HM


Serdang: Sekumpulan pelajar Ijazah Sarjana Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) mahu memberi kesedaran berhubung kewujudan sistem sokongan untuk pelajar China yang kini belajar di Malaysia.

Inisiatif dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Min'an Oversea Public Services Solutions (Min'an) dan Gulou Kafe diharapkan dapat memperkenalkan platform tersedia kepada mereka untuk mendapatkan sokongan dan bimbingan.

Ketua Kumpulan Penyelidik UPM Faizah Jaafar berkata, sejak penubuhannya pada 2016, Min'an sudah mewujudkan sistem sokongan dan memainkan peranan penting dalam membantu pelajar China mengharungi pelbagai cabaran sepanjang di Malaysia.

"Kami sangat teruja dengan kolaborasi bersama pelajar UPM dan Gulou Kafe dalam memperkenalkan sistem sokongan untuk pelajar China di Malaysia.

"Dengan memanfaatkan platform WeChat, Weibo dan Xiaohongshu, kami yakin dapat merapatkan jurang dan memperkasakan pelajar dengan maklumat serta sumber yang diperlukan untuk berkembang maju dari segi akademik dan sosial," katanya.

Berikutan itu, Faizah berkata, pihaknya akan mengadakan aktiviti santai di bangunan Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM, di sini, pada 6 petang esok.

Acara utama bagi kolaborasi ini ialah mesyuarat maya pada Khamis ini dengan menampilkan Pengerusi Min'an, Huang Bin yang akan berinteraksi secara langsung dengan kira-kira 50 peserta terutama pelajar China.

"Mesyuarat ini adalah peluang berharga untuk pelajar China yang belajar di Malaysia untuk mengakses sumber sekali gus memastikan mereka mendapat sokongan, maklumat terkini dan bersedia untuk cemerlang dalam pendidikan mereka," katanya.

Terdahulu, kajian kuantitatif dan kualitatif yang dijalankan ke atas lebih 100 responden terdiri daripada pelajar China mendapati kebanyakan mereka berasa keliru dengan pengalaman di negara asing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 5:56 PM