PROGRAM dilakukan oleh YOSH di UIAM bukan hanya fokus terhadap penuntut tempatan malah menyertakan penuntut antarabangsa dalam aktiviti sukarelawan dan komuniti.
PROGRAM dilakukan oleh YOSH di UIAM bukan hanya fokus terhadap penuntut tempatan malah menyertakan penuntut antarabangsa dalam aktiviti sukarelawan dan komuniti.
Nurul Husna Mahmud


'TIDAK ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin.' Itu adalah ungkapan tersohor mantan ulama dan tokoh politik dari Seberang, Mohammad Natsir mengenai kepimpinan dalam kalangan belia kampus.

Mengulas lanjut makna ungkapan berkenaan, pakar itu berpendirian kepemimpinan bukan suatu yang boleh diajar dalam pembelajaran di kelas atau ditiru daripada generasi sebelumnya.

Ciri-ciri atau keperibadian sebagai pemimpin itu perlu dirintis daripada pengalaman dan kematangan mahasiswa itu sendiri dengan menyusuri alam universiti.

Sebarang usaha yang dapat membantu atau membentuk kelompok mahasiswa untuk memiliki karakter kepemimpinan yang baik, ia wajar diketengahkan dalam memastikan pelapis pemimpin masa depan yang memiliki kredibiliti untuk mendukung masyarakat.

Menyentuh kaedah dapat membentuk kepimpinan dalam jati diri belia kampus atau mahasiswa, platform atau program yang bersesuaian seperti inisiatif Youth Strength & Happiness (YOSH) iaitu program sukarelawan dirintis oleh satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyFundAction membantu usaha ke arah itu.

Pengalaman itu sendiri dikongsi sukarelawan YOSH, Nurul Ain Ayub,22, yang melihat penyertaan dirinya dalam program berorientasikan sukarelawan berupaya membentuk keyakinan diri.

Akui penuntut jurusan Undang-undang Sivil dan Shariah

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),

Gombak, Selangor itu, program sukarelawan banyak membantu meningkatkan keyakinan diri selain memberi prespektif mengenai peranan mahasiswa kepada masyarakat.

AKTIVITI sukarelawan membantu pelajar universiti memahami kemampuan mereka menyumbang sesuatu kepada masyarakat.
AKTIVITI sukarelawan membantu pelajar universiti memahami kemampuan mereka menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

"Sejak saya menyertai platform YOSH, banyak perubahan yang saya dapati pada diri terutama dalam pembawaan diri terhadap rakan-rakan, keluarga mahupun masyarakat.

"Banyak yang saya pelajari termasuklah cara untuk berinteraksi dengan pelbagai golongan sama ada rakan kampus tempatan atau antarabangsa, golongan lebih profesional seperti pengurusan dan rektor.

"Apabila kemahiran saya terutama dalam komunikasi bertambah baik dan juga mempunyai peranan tertentu platform YOSH, secara tidak langsung keyakinan terhadap diri sendiri terbentuk.

"Malah secara tidak langsung itu 'melenturkan' ciri-ciri kepemimpinan yang baik iaitu mula mengambil peranan menjadi pengarah program dan sebagainya. Tidak terkecuali juga setiap kali diberi kepercayaan untuk mengendalikan aktiviti YOSH dan program aktiviti penuntut di UIAM, saya tidak rasa tertekan atau terbeban," katanya.

Tambah Nurul Ain lagi, ruang untuk meneroka kemampuan diri bukan hanya membabitkan ruang lingkup dalam kampus semata-mata sebaliknya turut membabitkan skop lebih besar termasuklah dengan komuniti di luar.

PELAJAR diberi ruang untuk kendali atau uruskan program komuniti.
PELAJAR diberi ruang untuk kendali atau uruskan program komuniti.

"Terbaru, saya diberi kepercayaan untuk mengendalikan program sempena Ramadan dan raya membabitkan penyertaan pelajar tempatan serta antarabangsa.

"Disebabkan UIAM, demografik pelajarnya unik iaitu terdiri datang dari pelbagai negara, program sukarelawan membantu merapatkan lagi hubungan silaturahim pelajar berbilang bangsa dan negara.

"Secara tidak langsung menyantuni pelajar antarabangsa bermakna kami turut menyantuni masyarakat selain di Malaysia dalam meneliti isu-isu di kampus atau lain-lain," katanya.

Bagi penuntut Yaman, Hasan Ali Algafri, 22, mengakui, platform sedemikian iaitu program beorientasikan aktiviti kemasyarakatan adalah suatu yang amat dialu-alukan kelompok pelajar antarabangsa untuk mengenali budaya tempatan.

Kata Hasan lagi, dua tahun sebelum ini pembelajaran yang berlangsung di dalam talian menyebabkan dia berada di Arab Saudi di samping keluarga berbanding menjalani hidup di kampus.

MENGERATKAN hubungan dengan komuniti sekitar.
MENGERATKAN hubungan dengan komuniti sekitar.

"Adanya platform seperti ini yang mana sukarelawan YOSH berkolaborasi dengan kelab-kelab pelajar antarabangsa seperti kelab kami iaitu Hadrami, sedikit sebanyak membantu merapatkan hubungan antara satu sama lain.

"Dengan hubungan silaturahim itu, kami pelajar antarabangsa dapat mengenali budaya dan orang Malaysia lebih dekat," katanya.

Sementara itu, penuntut dari Papua New Guinea, Kalu Fatimah, 22, menyifatkan sukarelawan YOSH yang menyantuni pelajar antarabangsa yang baru pertama kali menyertai aktiviti bersama komuniti dengan kaedah selesa.

"Mereka (sukarelawan YOSH) membuatkan saya selesa sepanjang menyertai aktiviti berasaskan komuniti tempatan pertama kali. Saya kagum kerana sikap mereka yang tenang dan memberi penerangan dengan pendekatan yang lebih santai.

"Walaupun pertama kali mengenali mereka tetapi mereka tidak pernah membuatkan saya pelajar antarabangsa berasa terasing. Selain itu ini turut membantu saya memahami cara atau gaya hidup masyarakat di Malaysia lebih baik," katanya.

PENDEKATAN untuk pelajar antarabangsa dalam program anjuran YOSH selalunya berkisar dengan budaya dan amalan masyarakat setempat.
PENDEKATAN untuk pelajar antarabangsa dalam program anjuran YOSH selalunya berkisar dengan budaya dan amalan masyarakat setempat.

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi MyFundAction, Siti Aisyah Shahid berkata, pihaknya memfokuskan misi memperkasakan belia dengan kolaborasi strategik bersama penuntut universiti tempatan mahupun penuntut tempatan di universiti luar negara.

Ini merujuk kepada pertubuhan itu sendiri memiliki cawangan di luar negara antaranya Mesir, New Zealand, Indonesia dan banyak lagi dengan penyertakan pelajar sebagai sukarelawan untuk pelbagai program komuniti.

"Banyak program dianjurkan dengan membabitkan pelajar universiti sebagai sukarelawan. Ini penting memberi kesedaran peranan dan sumbangan mereka terhadap masyarakat.

"Untuk sukarelawan pula, ini secara tidak langsung memberi kesedaran potensi diri termasuklah membina keyakinan dan melatih golongan mahasiwwa menjadi pemimpin masa depan," katanya.

Pihaknya sudah berkolaborasi lebih 10 universiti tempatan untuk pelbagai program yang berorientasikan pendekatan menerusi kerja-kerja sukarelawan dan kemasyarakatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 7:01 AM