PENUNTUT berpeluang menanam rumput Nepier.
PENUNTUT berpeluang menanam rumput Nepier.
Fazurawati Che Lah

KHIDMAT kemasyarakatan adalah usaha menawarkan perkhidmatan asas yang mempunyai matlamat.

Baru-baru ini sekumpulan pelajar jurusan al-Quran dan as-Sunnah dengan Komunikasi, Kolej Universiti Antarabangsa Selangor (KUIS) di bawah kelolaan, pensyarah, Bahtiar Mohd Nor yang juga penasihat program, mengadakan aktiviti kemasyarakatan bersama keluarga angkat di Kampung Bawah Gunung, Batu Kurau, Perak.

Seramai 51 pelajar dan dua pensyarah mengikuti program itu disambut keluarga angkat iaitu Ustaz Shahidan Desa.

Menurut Pengiring Program, Norazirawati Ahmad, pelbagai pengalaman dan nilai baik diperoleh penuntut hasil daripada program kzemasyarakatan itu yang disifatkan memberi kesan mendalam mengenai tanggungjawab mahasiswa kepada komuniti.

KREATIF lukisan mural yang dilakukan penuntut di dinding sekolah.
KREATIF lukisan mural yang dilakukan penuntut di dinding sekolah.

“Tanggungjawab kepada masyarakat perlu disemai dalam kalangan penuntut, melalui aktiviti perkongsian ilmu, penuntut dan masyarakat saling berkongsi ilmu pengetahuan mengikut keperluan dan bidang masing-masing.

“Kita tidak mahu melahirkan penuntut ‘cerdik busuk’ pandai tetapi selalu menyusahkan dan menyakitkan hati orang. Tanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi perlu mengembangkannya kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik dijalankan bersama penduduk kampung dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Perak.

AKTIVITI bersama pelajar sekolah yang meriah.
AKTIVITI bersama pelajar sekolah yang meriah.

Aktiviti utama program bersama pelajar darjah lima dan enam ialah Tahsin Solat iaitu latihan teori dan amali solat selain turut dimeriahkan dengan acara sukaneka dan melukis mural dinding sekolah.

Manakala bagi aktiviti bersama penduduk kampung pula adalah dengan memberi sumbangan barangan asas kepada penduduk terpilih, sumbangan bola kepada remaja untuk melakukan aktiviti sukan dan bermain futsal.

Lebih menarik, pelajar berpeluang menanam rumput jenis nepier dan melawat kebun buah-buahan milik penduduk.

USTAZ SHAHIDAN bersama penuntut merakamkan gambar kenangan.
USTAZ SHAHIDAN bersama penuntut merakamkan gambar kenangan.

Norazirawi memberitahu, program itu bukan sahaja menjadi medium penuntut untuk mendekatkan diri dengan masyarakat, tetapi dapat memupuk diri untuk menjadi ummah yang lebih menyayangi antara satu sama lain.

Katanya, program itu akan menjadi jambatan kepada lebih banyak lagi aktiviti seperti itu yang mampu mengukuhkan hubungan silaturahim antara penuntut dan komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 6:45 AM