MAHASISWA adalah golongan yang mudah mendapat tekanan akibat daripada penyesuaian pendidikan, sosial, persekitaran dan psikologi dalam suasana kampus. - Gambar hiasan
MAHASISWA adalah golongan yang mudah mendapat tekanan akibat daripada penyesuaian pendidikan, sosial, persekitaran dan psikologi dalam suasana kampus. - Gambar hiasan
1Suliati Asri


STRES dalam kalangan mahasiswa amat membimbangkan. Malah, topik stres cukup popular dalam pelbagai wahana yang membincangkan cabaran kehidupan mahasiswa.

Mahasiswa adalah golongan yang mudah mendapat tekanan akibat penyesuaian pendidikan, sosial, persekitaran dan psikologi dalam suasana kampus.

Kajian juga menunjukkan bahawa pandemik Covid-19 menyebabkan semakin ramai mahasiswa yang terdedah kepada masalah stres sehingga mendatangkan kesan kepada pencapaian akademik, aktiviti kokurikulum dan peranan sebagai ahli masyarakat.

Pensyarah Kanan di Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Norsimah Dasan berkata, menjalani kehidupan sebagai mahasiswa adalah perkara yang agak mencabar bagi seseorang individu.

Hal ini kerana suasana di universiti adalah berbeza 100 peratus dengan suasana di sekolah.

"Di universiti mereka perlu belajar berdikari dalam segala hal dan yang paling penting adalah mengurus masa dengan bijak.

"Kegagalan mahasiswa untuk berbuat demikian menyebabkan mereka mengalami masalah stres sehingga mendatangkan kesan yang negatif kepada mahasiswa itu sendiri.

"Apatah lagi apabila terpaksa berhadapan dengan kesan pandemik Covid-19 sehingga yang menyaksikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka terjejas teruk," katanya.

Kajian yang dilakukan dalam kalangan pelajar universiti, populasi umum, pekerja penjagaan kesihatan dan orang yang mengalami gangguan mental juga mengesahkan kesan negatif krisis Covid-19 terhadap kesihatan mental terutama yang memperlihatkan wajah kegelisahan, dihimpit tekanan dan berselubung kemurungan.

Dr Norsimah berkata, mahasiswa mungkin adalah populasi yang sangat rentan untuk masalah kesihatan mental memandangkan cabaran yang biasanya berkaitan dengan peralihan ke alam dewasa dan kesukaran ekonomi serta material yang kerap dari populasi ini.

Bahkan sebelum kelibat ngeri Covid-19 muncul, pelajar universiti diketahui mempunyai tahap kerumitan, kegelisahan dan gejala depresi yang tinggi.

"Kemungkinan besar, kedatangan Covid-19 sudah melonjakkan tingkat kenaikan ini.

"Ini disebabkan faktor situasi termasuk kepercayaan bahawa 'lockdown' mengganggu prospek pekerjaan masa depan mereka, gejala Covid-19 yang sukar dibendung dan masalah kesihatan yang membawa maut," katanya.

TERPAKSA melalui kaedah pembelajaran yang baru dan berkurung dalam bilik asrama disebabkan Covid-19 memberi tekanan kepada mahasiswa. - Gambar hiasan
TERPAKSA melalui kaedah pembelajaran yang baru dan berkurung dalam bilik asrama disebabkan Covid-19 memberi tekanan kepada mahasiswa. - Gambar hiasan

Kajian terdahulu juga mendedahkan stres terkait dengan faktor demografi.

Dr Norsimah berkata, dari kajian itu didapati peranan jantina membezakan pengaruh stres dalam kalangan pelajar di universiti terutama kebimbangan yang ternyata menjadi masalah paling umum dan serius bagi pelajar perempuan.

Manakala, pelajar lelaki didapati lebih berkemampuan untuk mempunyai cara bagi mengatasinya.

"Selain itu, dalam konteks perbezaan umur, kajian menunjukkan kemurungan dan kebimbangan jauh lebih tinggi dalam kalangan pelajar yang lebih tua (20 tahun ke atas) dan mereka yang dilahirkan di luar bandar.

"Skor stres yang lebih tinggi juga berlaku secara signifikan dalam kalangan pelajar yang lebih tua (20 tahun ke atas), wanita, Melayu dan Bumiputera selain mereka yang keluarganya berpendapatan rendah atau tinggi berbanding yang berpendapatan sederhana," katanya.

Menerusi dapatan daripada kajian ini, usaha untuk menangani stres dalam kalangan mahasiswa pada era endemik sudah pun boleh disimpulkan untuk dijadikan sebagai asas yang boleh digunakan bagi mengawal trauma Covid-19 dari terus membelenggu minda dan merantai psikologi mahasiswa.

"Justeru, psikologi yang kuat sangat penting dalam mengurangkan tekanan terutama di musim endemik Covid-19," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS, Dr Jakaria Dasan berkata, mahasiswa dan graduan yang berjaya menempuh cabaran pandemik Covid-19 dan tekanan pasti berjaya dalam kerjaya mereka nanti.

ANTARA graduan yang cekal mengharungi cabaran pengajian ketika Covid-19 yang ketika itu berada di medan tahun akhir pengajian.
ANTARA graduan yang cekal mengharungi cabaran pengajian ketika Covid-19 yang ketika itu berada di medan tahun akhir pengajian.

Menurutnya, sebagai pensyarah yang mengajar subjek teras, graduan UMS seramai 4,728 yang berjaya menamatkan pengajian dan secara rasmi menjadi alumni UMS pada Majlis Konvokesyen UMS yang ke-22 yang berlangsung dari 26 hingga 31 Mac lalu antara pelajar yang sangat hebat.

"Uniknya graduan ini, mereka adalah kumpulan pertama yang berdepan Covid-19 yang menyerang ganas lalu melumpuhkan seluruh sistem kehidupan bersosial manusia di penghujung 2019 dan sepanjang 2020.

"Mereka ini antara yang cekal berada di medan tahun akhir pengajian," katanya.

DR Norsimah
DR Norsimah

Dr Jakaria berkata, bukan sahaja tiba-tiba mereka terpaksa berkurung dalam isolasi secara total di asrama dan di rumah, malah terlepas peluang menjalani latihan industri yang amat bermakna buat pelajar tahun akhir.

"Emosi dan perasaan mereka juga sangat terganggu dengan berita jangkitan yang mengakibatkan kematian meningkat dengan begitu mendadak sekali.

"Keadaan yang ketika itu cenderung untuk pelajar mengehadkan diri di bilik asrama dan hanya keluar jika perlu untuk membeli makanan mengendurkan semangat dan merosakkan konsentrasi untuk gigih belajar," katanya.

Namun kata Dr Jakaria, beliau bersyukur walaupun menjadi kumpulan pertama merasai keadaan yang tidak pernah dialami sesiapa pun, mereka berjaya menghadapinya dan berjaya melengkapkan pengajian.

"Sebagai pensyarah yang cukup dekat dengan mereka, kalau benda mencabar seperti ini mereka boleh atasi, mereka pasti dapat menempuh cabaran bekerja di masa hadapan.

"Mereka sudah melalui satu cabaran hidup yang mematangkan dan tidak pernah dialami graduan lain sebelum ini. Jadi, pastinya mereka mampu menghadapi masalah di luar nanti terutama di alam pekerjaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 7:00 AM